Ngo Seru Masyarakat Antarabangsa Bersatu Padu Untuk Palestin
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Masyarakat antarabangsa perlu membuka mata mereka dan menzahirkan perpaduan mereka dengan warga Palestin berikutan kekejaman terkini rejim Israel di Masjid Al-Aqsa menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata pemimpin dunia terutamanya dari negara Islam perlu mempamerkan perpaduan mereka dengan menggunakan tekanan politik sehingga tindakan kekejaman dihentikan sama sekali.
“Tindakan ini adalah kejam kerana dilakukan semasa orang Islam sedang beribadah bersempena bulan Ramadan, yang jelas tidak mewujudkan sebarang ancaman keselamatan.
Justeru kekejaman ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia melibatkan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak seperti dilaporkan oleh media antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Datuk Ahmad Azam Abdul Rahman berkata umat Islam dan masyarakat dunia yang cintakan keadilan perlu bangkit untuk mempertahankan hak asasi manusia dan maruah mereka yang beribadah secara aman serta menghormati kesucian Al Quds .
“Semua negara Arab dan Islam mesti menghentikan semua hubungan diplomatik dengan Israel yang mencemari kesucian tempat suci di Al Quds dan bulan Ramadan.
Kita perlu menyokong sepenuhnya tindakan boikot, pelbagaikan dan sekat Israel dan barangan Israel, sebagai satu cara untuk mengakhiri keganasan Israel dan menghapuskan apartheid di Palestin. Kita mesti mengheret Israel untuk didakwa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap serbuan terhadap rakyat Palestin di kompleks Masjid Al-Aqsa, Rabu lepas.
Menyifatkan serangan itu sebagai jenayah keji, Perdana Menteri juga mendesak mereka membebaskan segera semua tahanan Palestin yang ditahan semasa serbuan tersebut.
Sekurang-kurangnya 12 warga Palestin cedera dan beratus yang lain ditahan, menurut Wisma Putra.
Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.
-- BERNAMA