Kerjasama Swcorp-jawi Dalam Program Kebersihan Di 845 Masjid Dan Surau

07/04/2023 02:55 PM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dalam program kebersihan dan menangani pembaziran di 845 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, serta 62 sekolah agama dan tahfiz yang berdaftar.

Kerjasama kedua-dua agensi itu dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pemeteraian MoU itu, Nga berkata antara inisiatif yang ditekankan dalam MoU itu ialah pelaksanaan tandas di masjid dan surau bertaraf BMW (Bersih, Menawan dan Wangi), pembinaan Drive-Thru Recycling Center (DTRC) di masjid yang mempunyai kawasan yang luas dan pelaksanaan Pejabat dan Premis JAWI Sifar Sisa (Pesis).

MoU itu juga melibatkan sekolah seliaan JAWI dalam aktiviti dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS), selain pengenalan konsep kebersihan, kitar semula, dan elak pembaziran dalam kursus praperkahwinan, katanya.

"Usaha-usaha yang diambil diharap dapat membantu meningkatkan kadar kitar semula kebangsaan kepada lebih 40 peratus pada 2024 daripada 33.17 peratus yang dicatatkan pada 2022," katanya.

Nga berkata komposisi sisa yang paling besar di Malaysia ialah sisa makanan iaitu sebanyak 44.5 peratus dan situasi itu menjadi sesuatu yang membimbangkan ketika bulan Ramadan.

"Pencerapan data yang dibuat di semua 92 bazar Ramadan selama seminggu, didapati jumlah sisa makanan yang dibuang oleh peniaga-peniaga bazar Ramadan secara purata adalah sebanyak 53 tan sehari. Purata sisa bagi satu petak perniagaan sehari pula ialah 9.5 kilogram di Kuala Lumpur dan 7.3 kilogram di Putrajaya," katanya.

Sementara itu, Mohd Na'im berharap model kerjasama antara SWCorp dengan JAWI itu dapat diperluas bagi memberi galakan kepada masjid dan surau di negeri lain memandangkan urusan hal ehwal agama Islam berada dalam bidang kuasa negeri.

Antara langkah diambil oleh JAWI bagi memastikan aspek kebersihan tandas di masjid dan surau adalah dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan penganjuran pertandingan, katanya.

-- BERNAMA