Jom Sahur Hidupkan Kemeriahan Ramadan Di Wisma Bernama

08/04/2023 08:36 AM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kemeriahan bulan Ramadan ‘dihidupkan’ di Wisma Bernama di sini, dengan kira-kira 50 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersahur bersama-sama pada program Jom Sahur BERNAMA 2023/1444H, awal pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata program memasuki tahun ketiga sejak dilaksanakan pada 2021 itu bertujuan mengeratkan lagi silaturahim sesama kakitangan di samping memberi semangat kepada mereka yang komited bertugas sehingga lewat pagi.

“Semua kakitangan termasuk pengurusan tertinggi turun bersama-sama bersahur. Ini telah menjadi satu aktiviti tetap setiap kali tibanya Ramadan,” katanya ketika ditemui di program itu.

Program itu turut diisi dengan solat Subuh secara berjemaah.

Sementara itu, Roslan turut mendoakan agar warga Bernama dapat melaksanakan ibadat dengan baik sepanjang bulan Ramadan ini.

“Kita juga akan menyambut Syawal tidak lama lagi, saya harapkan Syawal kali ini kita dapat raikan bersama keluarga masing-masing. Semoga Syawal kali ini adalah yang terbaik kepada kita semua,” katanya.

-- BERNAMA