Kpj, Volvo, Saji Berganding Bahu Edar Bubur Lambuk Sempena Ramadan

08/04/2023 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) sempena bulan Ramadan ini, berganding bahu bersama Saji Malaysia dan Volvo Ingress Swede Automobile untuk menyediakan dan mengedar bubur lambuk ke beberapa kawasan berhampiran ibu kota.

Pegawai Bertanggungjawab KPJ Healthcare Norhaizam Mohammad berkata sebanyak 15,000 pek bubur lambuk akan diagihkan kepada penduduk, antaranya di sekitar Bandar Tun Razak, Seri Serdang, Lembah Pantai dan Titiwangsa, terutama kepada individu dalam kategori B40.

Beliau berkata program itu selaras dengan janji KPJ Healthcare ‘Care for Life’, sempena bulan yang diberkati untuk perjumpaan komuniti, perkongsian dan perpaduan, serta masa untuk memperbaharui komitmen seseorang dalam melakukan kebajikan.

“Dalam bulan penuh berkat Ramadan ini, kami ingin menjalankan tanggungjawab kami terutama kepada komuniti di mana kami beroperasi dan bagaimana kami boleh membantu untuk menambah baik kehidupan pesakit kami, komuniti dan anggota masyarakat.

“Sementara bubur lambuk adalah sajian istimewa ketika Ramadan, kolaborasi kami bersama Saji dan Volvo menunjukkan kesungguhan kami terhadap komitmen ke arah kehidupan sihat dan melakukannya secara lestari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada upacara ‘flag off’ program pengagihan itu di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud.

Volvo menyediakan tujuh kereta elektrik iaitu XC60 Recharge, XC40 Recharge, XC40 Recharge Pure Electric, C40 Recharge Pure Electric dan V60 Recharge, untuk membantu mengedarkan pek bubur lambuk, manakala Saji menaja bahan-bahan dan produk untuk penghasilan hidangan itu.

Norhaizam berkata 200 sukarelawan daripada semua hospital dan pusat pendidikan KPJ Healthcare terlibat dalam penyediaan bubur lambuk itu yang bermula seawal 2 pagi hari ini.

“Inisiatif ini mengetengahkan komitmen KPJ Healthcare untuk membina kerjasama dan kolaborasi bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan membina masa depan yang lebih saksama untuk semua.

“Tanggungjawab utama kami sebagai antara rangkaian hospital pakar terbesar di rantau ini ialah ke arah menjadikan rakyat lebih sihat dan untuk memastikan kami mampu menawarkan penjagaan terbaik kepada pesakit-pesakit kami,” katanya.

-- BERNAMA