Penganjuran Program Seperti Iftar@kl Akan Diperluas Ke Setiap Negeri - Khairul Firdaus

08/04/2023 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Penganjuran program berbuka puasa beramai-ramai seperti Iftar@Kuala Lumpur (Iftar@KL) yang diadakan di Jalan Raja, Dataran Merdeka di sini setiap tahun akan diperluas ke setiap negeri pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan bagaimanapun berkata pelaksanaan program itu, yang bertujuan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah serta mengeratkan silaturahim antara kaum, memerlukan kerjasama rakan strategik dan penajaan bagi menjayakannya.

“Kita lihat sambutan dan pengisian program ini cukup baik... oleh sebab itu, kita bersetuju untuk meluaskan program seumpama ini di seluruh negara.

“Namun kita perlu terlebih dahulu mengenal pasti rakan strategik lain untuk bersama menganjurkan supaya mereka boleh membantu mengenal pasti lokasi yang sesuai sekali gus ia dapat diadakan dalam suasana yang meriah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian itu menyasarkan 10,000 warga kota termasuk pelancong asing hadir pada program Iftar@KL yang diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 16 April.

Katanya selain berbuka puasa, aktiviti Iftar@KL tahun ini ialah menyedia dan mengagihkan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus al-Quran serta tazkirah Ramadan dan perkhidmatan kaunter zakat selain lebih 40 kenderaan saji menyediakan pelbagai juadah makanan dan minuman.

-- BERNAMA