Aktiviti Keagamaan Meriahkan Ramadan Di Pos Hendrop

09/04/2023 12:39 PM

GUA MUSANG, 9 April (Bernama) -- Walaupun berada di kawasan pedalaman, penempatan masyarakat Orang Asli Temiar di Pos Hendrop, dekat sini, tetap meriah dengan aktiviti ibadah dan mengimarahkan Masjid Al-Hidayah di kampung berkenaan sepanjang bulan Ramadan.

Guru Agama dan Imam lantikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Aris Rami, 53, berkata lebih 800 daripada 1,000 penduduk di pos pedalaman berkenaan adalah beragama Islam.

"Saya dan penduduk kampung menghidupkan bulan Ramadan dengan solat sunat tarawih dan tadarus al-Quran, selain turut diisi dengan tazkirah bagi tujuan sesi pemantapan rohani dalam kalangan mereka. 

"Kelas fardu ain dibuat setiap Jumaat dan Sabtu bersama sesi soal jawab antara saya dan penduduk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Hendrop, di sini baru-baru ini. 

Bercerita lanjut, Aris berkata beliau berusaha memastikan masyarakat di penempatan tersebut mendapat bimbingan mendalami ilmu agama dari awal usia meskipun terpisah daripada masyarakat luar akibat faktor jarak tempat tinggal dan cara hidup.

Aris berkata mandat yang dikurniakan kepadanya menjadikan beliau tempat rujukan masyarakat di kawasan terbabit berkenaan hal agama. 

“Saya mendapat tugas mendidik penduduk orang Asli di Pos Hendrop untuk mereka belajar dan mendalami ilmu agama Islam sejak lebih 20 tahun lalu.

“Pengisian keagamaan dan pembelajaran bertambah menjelang Ramadan kerana pelbagai aktiviti diadakan setiap hari pada bulan ini untuk semua penduduk di sini,” katanya.

Aris yang berpegang pada peribahasa Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, justeru beliau menetapkan fokus untuk membimbing masyarakat tersebut daripada golongan kanak-kanak, di samping membantu golongan dewasa untuk lebih mendalami agama. 

“Saya bertanggungjawab untuk terus membimbing penduduk di kawasan ini terutama kanak-kanak supaya mereka mengenal dan membesar mengikut ajaran Islam. 

“Saya memastikan kanak-kanak tahu dan mengingati doa dan surah pendek dengan selalu membuat ulang kaji pembelajaran yang lepas sebelum memulakan sesi baharu. Mereka juga sudah pandai mengaji,” katanya. 

-- BERNAMA