Tradisi Edar Bubur Lambuk Masjid Jamek Bukit Pasir Masuki Tahun Ke-97
BATU PAHAT, 10 April (Bernama) -- Jika di Kuala Lumpur bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru sememangnya menjadi pilihan orang ramai, namun tidak kurang juga bagi bubur lambuk Masjid Jamek Bukit Pasir di sini, yang sentiasa dinanti-nantikan khususnya sepanjang Ramadan.
Tukang masak bubur lambuk Masjid Jamek Bukit Pasir, Mohd Farek Md Tap, 48, berkata tradisi memasak dan mengagihkan bubur berkenaan kepada orang ramai kini telah memasuki usia 97 tahun sejak masjid itu mula dibuka pada 1926.
Mohd Farek yang berpengalaman memasak bubur lambuk selama 25 tahun itu berkata sebanyak 1,500 hingga 2,000 bungkus bubur akan diedarkan pada hari biasa, manakala 3,000 bungkus akan diedarkan pada hujung minggu.
"Bubur lambuk ini dimasak dengan menggunakan resipi turun temurun masjid berkenaan dengan gabungan 11 bahan dan rempah ratus. Ia dilaksanakan setiap hari pada Ramadan dengan kerjasama ahli jawatankuasa masjid, golongan muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Ia sebagai usaha untuk mengimarahkan masjid, bermula dengan pagi memasak, petang aktiviti agihan dan malam berbuka serta solat tarawih bersama, dan pada hari ini kita laksanakan secara bersama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya ketika ditemui Bernama di masjid itu di sini hari ini.
Sementara itu, pengerusi masjid berkenaan Ibrahim Hassan berkata aktiviti memasak bubur lambuk itu akan diteruskan dari tahun ke tahun dan hanya terhenti pada 2020 kerana pandemik COVID-19.
"Pada tahun ini pihak masjid akan memasak antara tiga hingga lima periuk setiap hari sepanjang Ramadan dan akan ditambah antara dua hingga tiga periuk lagi di waktu hujung minggu," katanya.
-- BERNAMA