50 Keluarga Di Parlimen Kulai Terima Sumbangan Baucar Rm5,000

10/04/2023 09:27 PM

JOHOR BAHRU, 10 April (Bernama) -- Lima puluh keluarga daripada golongan kurang berkemampuan di sekitar Senai menerima sumbangan berbentuk baucar pembelian keseluruhan bernilai RM5,000 untuk berbelanja di pasar raya Hwa Thai di TJ Mart, Saleng, di Kulai dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata sumbangan tersebut telah disampaikan kepada penerima dalam satu majlis yang diadakan pada Sabtu lepas hasil kerjasama antara Parlimen Kulai dan pasar raya itu sempena sambutan Aidilfitri.

Ahli Parlimen Kulai itu berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam membuat persediaan menjelang hari raya yang bakal tiba. 

"Kami berharap agar jalinan kerjasama Parlimen Kulai bersama Hwa Thai akan berterusan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai lagi keluarga yang memerlukan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini. 

Teo turut memaklumkan sebelum ini pihaknya telah menyerahkan baucar pembelian sempena Ramadan bertempat di Mydin Kulai kepada 20 keluarga kurang berkemampuan, selain mengedarkan bubur lambuk dan kurma dalam Parlimen Kulai. 

-- BERNAMA