Seda Malaysia Ceriakan Anak-anak Yatim Baitun Nurrawdhah Sempena  Aidilfitri

11/04/2023 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menerusi 'Program Tautan Kasih' tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) agensi itu membawa keceriaan kepada 18 penghuni Rumah Anak Yatim Asnaf Baitun Nurrawdhah dengan sumbangan baju raya di Jakel Mall Kuala Lumpur, di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia Datuk Hamzah Hussin berkata pihaknya memperuntukkan RM20,000 untuk anak-anak yatim berumur satu hingga 21 tahun, dan mereka diberi peluang untuk memilih  sendiri pakaian kegemaran.

“Saya berharap sumbangan SEDA Malaysia ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan pentadbir Rumah Anak Yatim Asnaf Baitun Nurrawdhah dalam menyediakan pakaian raya untuk anak-anak di bawah jagaan mereka.

“Kami gembira kerana sumbangan kecil ini telah membantu menceriakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik menjelang sambutan Hari Raya. Saya terharu melihat keterujaan di wajah mereka dan bagaimana mata mereka bersinar apabila memilih pakaian yang digemari mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif JAKEL Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, Pengerusi Rumah Anak Yatim Asnaf Baitun Nurrawdhah, Hafifah Ismail dan Ketua Pegawai Strategi SEDA Mohammad Nazri Mizayauddin.

Menurut Hamzah, anak-anak yatim itu turut menerima pelbagai cenderahati dan duit raya.

Tambahnya, inisiatif ‘Program Tautan Kasih’ merupakan antara beberapa siri program CSR yang dirancang sepanjang Ramadan tahun ini, bertujuan memberi peluang kepada SEDA Malaysia menyumbang kepada masyarakat dan berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.

Aktiviti SEDA sepanjang Ramadan ini termasuk pengagihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa, tazkirah Ramadan dan Tadarus al-Quran.

-- BERNAMA