Aidilfitri Disambut Pada Jumaat Atau Sabtu? Tarikh Muktamad Bergantung Kepada Keputusan Cerapan Anak Bulan Pada 29 Ramadan

12/04/2023 02:55 PM
By :
Suziy C. Mat

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan umat Islam di negara ini bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat 21 April.
  • Tarikh seperti yang didakwa itu menjadi spekulasi bahawa umat Islam di negara ini akan beraya awal sehari daripada tarikh yang sepatutnya.
  • Tarikh muktamad hanya akan dibuat penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah melihat anak bulan pada 29 Ramadan.
  • Malaysia mengamalkan penggunaan kriteria Imkan ar-Ru'yah dalam penentuan awal bulan Islam termasuk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah (Aidiladha atau Raya Haji) sejak 1992.
  • Tarikh tercatat pada kalendar hanya jangkaan. 1 Syawal tetap dimuktamadkan melalui proses cerapan pada setiap 29 hari bulan (Ramadan) dan hasilnya berdasarkan hitungan tertentu.
  • Umat Islam tidak seharusnya membandingkan penetapan 1 Syawal di Malaysia dengan negara lain kerana ia bergantung kepada banyak faktor seperti geografi dan kaedah penentuan tertentu.

pix1

 

LATAR BELAKANG

Umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah selesai berpuasa sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun mengikut kalendar Hijrah.

Pastinya tergambar kemeriahan meraikan 1 Syawal bersama keluarga dan sanak saudara.

Di Malaysia biasanya ramai orang akan membuat persiapan seperti membeli belah pelbagai keperluan bagi persediaan memasak juadah pada hari raya nanti.

Tidak kurang juga yang membeli baju raya serta menghias kediaman serba baharu.

Bagi yang bekerja dan akan pulang ke kampung halaman pula,  sudah tentu akan merancang perjalanan dan memohon cuti tahunan daripada majikan masing-masing.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman tahun lepas, hari raya Aidilfitri yang dijangka pada Selasa iaitu 3 Mei 2022 seperti tercatat di dalam kalendar telah jatuh pada Isnin 2 Mei 2022.

Suasana ketika itu digambarkan seperti 'raya mengejut' dan ada yang tidak berkesempatan menyediakan persiapan seperti apa yang telah dirancang pada awalnya kerana 1 Syawal diumumkan lebih awal satu hari.

Disebabkan peristiwa itu, pada tahun ini ramai yang tertanya-tanya bilakah tarikh sebenar hari raya?

Jika mengikut apa yang tercatat pada kalendar, 1 Syawal bakal disambut pada 22 April 2023 iaitu hari Sabtu.

 

MENGENAI DAKWAAN

pix2

 

Tular dakwaan menyatakan umat Islam di negara ini bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 21 April  2023 iaitu pada hari Jumaat.

Dakwaan tersebut tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Orang ramai mula berasa keliru dan tertanya-tanya akan tarikh yang sebenar memandangkan pada kalendar masihi tahun ini Hari Raya Aidilfitri dicatatkan pada 22 April 2023 iaitu pada Sabtu.

Adakah benar umat Islam di negara ini bakal menyambut hari raya Aidilfitri lebih awal daripada tarikh dijangkakan seperti yang berlaku tahun lepas?

Apa pun bertenang dan teruskan persiapan hari raya anda.

Sementara itu biar kami di MyCheck semak untuk anda apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat carian rawak berkenan isu tersebut menerusi enjin carian Google.

Menggunakan kata kunci ‘Hari Raya Aidilfitri 21 April’, maklumat sepadan dengan dakwaan berkenaan yang dapat kami temui adalah seperti berikut.

 

pix3

 

Ternyata banyak hasil carian yang memaparkan maklumat sepadan telah dilaporkan pihak media berkenaan dengan isu ini.

Kami meneliti satu persatu pautan tersebut bagi mengumpul lebih banyak maklumat.

 

Penjelasan Jakim

Menurut portal Berita Harian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihati semua pihak agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini, yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan Majlis Raja-Raja.

Jakim turut menafikan kenyataan yang dibuat pihak tertentu bahawa pihaknya telah membuat penetapan  berhubung tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 1444H / 2023M serta menasihati semua pihak untuk tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.

 

pix4

 

Berikutan pelbagai spekulasi yag timbul itu juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menasihatkan umat Islam di Selangor khususnya, menghormati proses yang ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444 Hijrah kepada pihak berkuasa.

Memetik laporan Berita Harian, baginda menyeru agar umat Islam agar kekal tenang dan tertib dalam keadaan harmoni berhubung perkara itu.

 

Jangkaan Pusat Astronomi Antarabangsa

Seterusnya carian  kami menjumpai maklumat oleh portal Gulf News melaporkan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Pusat astronomi tersebut menjangkakan akhir Ramadan adalah pada hari Khamis bersamaan 20 April 2023.

Bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Jelas portal tersebut lagi, hanya beberapa negara Islam lain berkemungkinan akan dapat menyaksikan anak bulan terbabit pada tarikh tersebut.

Ini bermakna ada negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.

 

Tarikh Melihat Anak Bulan Syawal

Apabila melibatkan maklumat yang bercampur seperti ini, apa yang perlu kita fokuskan adalah tentang bagaimana cara sebenar yang dipraktikkan oleh Malaysia dalam menentukan tarikh tersebut.

Tarikh bagi melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam berkenaan.

Portal Astro Awani melaporkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Menurut kenyataan itu juga, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang Khamis (20 April) di 29 lokasi seluruh negara.

 

Kaedah Penentuan Hari Raya Aidilfitri Di Malaysia

Menurut Jabatan Mufti Selangor, Malaysia mengamalkan penggunaan kriteria Imkan ar-Ru'yah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah (Aidiladha atau Raya Haji) sejak 1992.

Kaedah tersebut juga sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Negara Brunei, Indonesia Malaysia dan Singapura yang memutuskan hilal atau anak bulan dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat tertentu.

Pertama, ketika matahari terbenam tinggi, hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang .4 darjah.

Kedua, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria tersebut pada tarikh melihat anak bulan yang ditetapkan pada 29 haribulan hijriah (29 Ramadan), ini bermakna keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baharu iaitu 1 Syawal.

Ketiga, jika hilal tidak kelihatan pada tarikh yang ditetapkan tersebut ini bermakna keesokannya disempurnakan menjadi 30 haribulan (Ramadan) dan hari berikutnya pula barulah memasuki 1 Syawal.

Kami sertakan sebahagian keratan kenyataan dibuat Jabatan Mufti Selangor berkenan penjelasan tersebut dan kenyataan penuh boleh diakses di sini.

 

pix5

 

Daripada penjelasan tersebut apa yang dapat kita fahami bahawa jika anak bulan syawal kelihatan pada tarikh melihat anak bulan, maka keesokan harinya adalah hari raya.

Namun sebaliknya jika anak bulan tidak kelihatan maka Hari Raya Aidilfitri akan ditetapkan pada hari yang berikutnya.

 

Perkongsian Pakar Dan Penceramah Agama

Kami turut merujuk maklumat berhubung tarikh 1 Syawal yang didakwa jatuh pada Jumaat, 21 April ini seperti yang dijelaskan oleh pakar-pakar dan ilmuan agama.

Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias berkata perkara itu seharusnya diserahkan kepada autoriti agama, jangan pula kita marahkan mereka (autoriti agama) kerana kita ada prosedur dan kriteria, malah ini bukan kali pertama kaedah itu digunakan, sebaliknya sudah lama. 

Jelas beliau lagi, kalau kita tidak raya Jumaat, kita tetap akan raya pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, penentuan 1 Syawal tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ada prosedur serta kriteria yang perlu diambil kira.

Untuk tujuan ini, beliau berkata pihak berautoriti agama mempunyai kepakaran untuk perkara ini dan perlu diberikan kepercayaan.

Jakim hanya membantu menyelaras dan tidak boleh meletakkan tarikh 1 Syawal sesuka hati.

Tarikh yang diletakkan di dalam kalendar itu hanya tarikh anggaran sahaja dan keputusan akhir terletak pada Pemegang Mohor Besar Raja-Raja, jelas Mohd Izhar Ariff.

Pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan penetapan itu berdasarkan syariat Islam dan tidak boleh ditetapkan sewenang-wenangnya.

Pada 29 Ramadan adalah penentu sama ada keesokannya 1 Syawal atau lusa, bergantung kepada penampakan anak bulan.

Penjelasan lanjut beliau boleh ditonton di sini.

 

Perbandingan Penetapan Hari Raya Aidilfitri Di Malaysia Dengan Negara Lain

Umat Islam tidak seharusnya membandingkan penetapan 1 Syawal 1444H dengan negara lain kerana ia bergantung kepada banyak faktor termasuk aspek geografi dan kaedah penentuannya yang berbeza.

Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham, menjelaskan pendekatan rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah digunakan di Malaysia.

Tarikh 1 Syawal tetap perlu dimuktamadkan melalui proses cerapan, dengan cara setiap tanggal 29 hari bulan (Ramadan), perlu buat cerapan dan hasilnya akan memuktamadkan berdasarkan hitungan itu.

Jelas Ahmad Irfan, umat Islam perlu memahami penetapan pada kalendar, sifatnya tidak mutlak dan orang ramai hendaklah cakna ini urusan agama, tarikh penentuan Syawal ini akhir sekali ditentukan Allah SWT berdasarkan kepada rukyah.

Mengulas perbezaan dengan negara jiran seperti Indonesia, jelas beliau kaedah digunakan tidak sama kerana mereka tidak mengutamakan proses cerapan seperti dilakukan di Malaysia.

Di Indonesia, memang ada beberapa pertubuhan yang sudah jelas menyatakan tarikh sambutan raya kerana mereka mengabaikan aspek proses cerapan itu.

"Di Malaysia, kita ada proses cerapan supaya dimuktamadkan dengan melihat sendiri anak bulan. Jadi, di negara ini, kita tidak tahu adakah awal (tarikh 1 Syawal), proses cerapan hanya berlaku pada waktu maghrib, 29 Ramadan nanti," katanya.

Begitu juga di negara lain seperti Mesir dan Emiriah Arab Bersatu juga tidak sepatutnya dijadikan sandaran.

Negara ini terletak di sebelah barat, semakin barat lokasi negara itu, semakin tinggi (peluang) nampak anak bulan, manakala kita di sebelah timur biasanya tak nampak kecuali pada kedudukan tertentu.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul dan semak, ternyata belum ada kepastian kepada dakwaan yang dibuat.

Ini kerana dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri aspek utama yang perlu difahami ialah syariat yang ditetapkan oleh Islam.

Pelbagai maklumat diperoleh berkenaan dakwaan ini namun, asasnya adalah kaedah dan penetapan dibuat pihak berautoriti yang perlu kita ambil maklum. Ada kemungkinan 1 Syawal jatuh sehari lebih awal dan ada kemungkinan juga tidak.

Semuanya bergantung kepada penampakan anak bulan yang akan dicerap berdasarkan rukyah dan hisab pada tarikh 29 Ramadan seperti yang telah diumumkan oleh pihak berautoriti.

Jadi sama-sama kita nantikan pengumuman Hari Raya Aidilfitri pada 20 April ini bersamaan 29 Ramadan selepas cerapan anak bulan Syawal dibuat.

Nasihat kami di MyCheck tidak kira sama ada kita akan beraya pada Jumaat (21 April) atau Sabtu (22 April), apa yang penting adalah keberkatan Ramadan dan kemanisan Syawal yang perlu dihayati dengan sebenar-benarnya.

Kalau takut raya mengejut, buat persiapan awal bukan ‘last minute’!

Beza awal dan cepat pun hanya sehari sahaja. Sama-sama kita lebih cakna agama dan bijak merancang masa supaya tidak kelam kabut raya jadinya!

Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada kami dan ingat, ‘Jangan sebar melulu, MyCheck dulu’.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Jakim Nafi sudah Tetapkan Tarikh Aidilfitri- BHarian 

  2. Jangan mudah percaya khabar angin tarikh 1 Syawal - JAKIM 

  3. Pengumuman Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 - JAKIM 

  4. Jakim nafi keluar poster tarikh Hari Raya Aidilfitri | Astro Awani 

  5. Pusat Astronomi Antarabangsa jangka 1 Syawal pada Jumaat - Kosmo Digital 

  6. SURAT | 1 Syawal mungkin tak disambut serentak di rantau ini 

  7. Eid Al Fitr 2023 likely to start on April 21, moon-sighting committee to convene on April 20 | Ramadan – Gulf News 

  8. Ramai kecoh aplikasi teropong bulan, raya hari Jumaat- Kosmo! 

  9. @kakdhia_rich 1Syawal UAI - TikTok 

  10. Kenyataan Media Prinsisp Asas Dalam Penentuan Tarikh Hari Raya Di Malaysia - Facebook Rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor

  11. Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April | Astro Awani

  12. 'Jangan banding penetapan raya di Malaysia dengan negara lain' 

  13. Portal Rasmi JAKIM - Isu Tular Tangkap Layar “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444h 20 April 2023” 

  14. Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 & Hari Raya Haji Di Malaysia 

  15. Raya Jumaat atau Sabtu?- Harian Metro