Mytv Di Platform Ott Bantu Kkd Capai Kpi Tontonan Tujuh Juta
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Usaha MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) melancarkan perkhidmatan penstriman Over-the-Top (OTT) akan membantu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) tujuh juta tontonan menerusi platform itu tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD Mastura Ahmad Mustafa berkata pelancaran penstriman OTT MYTV iaitu ‘MYTV Mana-Mana’ akan dilakukan secara rasmi dan besar-besaran pada Jun ini.
“MYTV baru-baru ini dalam usaha melancarkan platform perkhidmatan penstriman OTT di mana kita tidak perlu memasang dekoder televisyen. Asalkan ada Internet, kita boleh akses MYTV melalui aplikasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MYTV dengan mengedarkan dekoder percuma juga akan dilaksana di kawasan di mana penduduknya berpotensi menjadi penonton platform itu dalam usaha mencapai KPI tersebut.
Selain itu, Mastura berkata MYTV terus mengadakan kempen dan iklan di semua platform termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menggalakkan penggunaan MYTV dalam kalangan rakyat.
Terdahulu, Mastura menghadiri Program Ramadan anjuran bersama Bernama dan MYTV di Bazaria Pantai, Lembah Pantai di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin serta Ketua Pegawai Operasi MYTV Azlina Mohd Yusof.
Pada majlis itu, Mastura turut mengedarkan 550 helai apron, 200 pek roti john dan 50 dekoder MYTV secara percuma kepada peniaga serta penduduk setempat.
Roslan pula berkata program kolaborasi bersama rakan strategik MYTV itu adalah sebagai usaha mendekati komuniti bagi mempromosikan Bernama serta MYTV.
“Ini sebab komuniti kita tidak menyedari bahawa mereka boleh akses Bernama TV atau Bernama Radio di MYTV dengan kelebihan... contohnya mengikuti Bernama TV melalui saluran 121 secara definisi tinggi (HD) dan Bernama Radio di saluran 711,” katanya.
Pada Mac lepas, KKD menyasarkan KPI tujuh juta tontonan menerusi platform MYTV tahun ini berbanding 6.3 juta tontonan di platform sama pada tahun lepas.
-- BERNAMA