Bernama, Eastin Hotel Rai Anak Yatim Dalam Majlis Manisnya Ramadan

14/04/2023 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Eastin Hotel Kuala Lumpur hari ini meraikan anak yatim dari Pusat Jagaan Rumah Kesayangan, Petaling Jaya dalam Majlis Manisnya Ramadan Iftar. 

Sebanyak RM 8,750 sumbangan berbentuk hamper dan wang tunai diagihkan kepada 15 anak yatim dari pusat jagaan berkenaan.

Pengurus Besar Eastin Hotel Kuala Lumpur, Andrew Law, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah tanda sokongan kepada anak-anak yatim, sambil menyatakan bahawa kanak-kanak itu dianggap sebagai cahaya kepada komuniti sektor perhotelan.

“Saya juga mempunyai seorang anak dan dia adalah cahaya hidup saya dan saya perlu berkongsi cahaya ini untuk kanak-kanak ini. Kami berharap dapat melakukan ini lebih lagi dan sesuatu yang kami mahu lakukan dalam jangka panjang dan bukan hanya sekali sahaja,” katanya semasa majlis ‘Manisnya Ramadan Iftar’ di Eastin Hotel Kuala Lumpur,  hari ini.

Andrew juga berharap untuk melibatkan diri dalam program CSR lain bersama Bernama dan syarikat lain pada masa hadapan.

“Perkongsian ini adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Kami ingat sangat melakukan lebih banyak kerjasama dengan Bernama untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin, berkata program CSR tersebut merupakan antara aktiviti yang dijalankan pada bulan Ramadan ini. 

“Semalam, Bernama mengadakan majlis dengan komuniti Lembah Pantai dengan memberikan sebanyak 450 apron kepada peniaga bazar Ramadan serta mengagihkan juadah 200 paket Roti John Leleh kepada pengunjung di sana. 

“Esok, kita akan adakan Program Sepatu Raya yang akan diagihkan kepada anak yatim,” katanya. 

Beliau berkata Bernama sentiasa bersedia dalam memberi bantuan kepada masyarakat. 

-- BERNAMA