Pelita Panjut Gergasi Meriahkan Iftar @ Kl Di Dataran Merdeka

15/04/2023 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan program Iftar @ KL hari ini dan esok di Jalan Raja, Dataran Merdeka di sini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata penganjuran Iftar @ KL kali ini yang berkonsepkan berbuka puasa secara duduk bersila beralaskan tikar bakal menerima 20,000 pengunjung termasuk pelancong asing untuk hari ini dan esok. 

“Tujuan program ini adalah untuk mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui pengisian aktiviti, merapatkan silaturrahim serta toleransi antara kaum menerusi program dan aktiviti bagi menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi Program Pelancongan Budaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas hadir pada Majlis Iftar @ KL.

Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing  turut mengagihkan sumbangan Aildilfitri kepada 40 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Titian Kaseh.

Iftar @ KL yang dianjurkan oleh JKKN merupakan anjuran bersama rakan strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Persatuan Seni Budaya Putra serta disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Antara pengisian menarik ialah Majlis Pelancaran Malam Tujuh Likur malam ini yang mana ia menjadi tradisi masyarakat Melayu memasang lampu pelita menjelang penghujung Ramadan dengan simbolik pelancaran tetamu kenamaan menyalakan Pelita Panjut Gergasi Lima Sumbu di Dataran Merdeka.

Pelita Panjut Gergasi Lima Sumbu ini berukuran 6.1 meter panjang dikelilingi 100 buah pelita kecil akan mula dinyalakan mulai 15 April sehingga jam 12 tengah malam pada 20 April untuk memeriahkan dan mewarnai suasana pada waktu malam di Kuala Lumpur serta sebagai menandakan kegembiraan warga kota menyambut kedatangan Aidilfitri di samping memberi pengalaman unik kepada pelancong asing.

-- BERNAMA