Pemain Sektor Peruncitan Terjemah Konsep Rahmah Dengan Baik - Salahuddin
JERTIH, 17 April (Bernama) -- Para pemain industri terutama sektor peruncitan bukan sahaja berjaya menterjemahkan inisiatif 'Payung Rahmah' dengan baik, malah mereka menawarkan lebih banyak barangan pada harga Rahmah berbanding yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pemain sektor itu dilihat lebih proaktif dalam menawarkan pelbagai pakej terutama menjelang musim perayaan ini.
Beliau berkata misalnya, walaupun kerajaan menetapkan sebanyak 30 jenis barangan berada di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), namun terdapat pasar raya yang menawarkan harga lebih rendah untuk lebih 50 barangan.
Katanya lagi tinjauan pihak KPDN di sebuah pasar raya besar juga mendapati ada yang menawarkan sehingga 100 barangan pada kadar harga Rahmah.
"Di samping pakej Rahmah yang sedia ada, mereka tambah lagi dengan jualan Rahmah yang mereka putuskan secara dalaman (atas inisiatif sendiri).
"Sudah tentu KPDN sangat berterima kasih kepada semua pemain industri yang nampaknya sikap Rahmah mereka dapat diterjemahkan dengan baik," katanya selepas Majlis Kasih Ramadan dan Sumbangan Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 250 orang menerima sumbangan zakat wakalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dengan nilai keseluruhan RM50,000.
Sementara itu Salahuddin berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan perundangan terhadap peniaga yang tidak mematuhi SHMMP.
"Kita sudah beri nasihat namun jika diabaikan, tiada jalan lain selain ambil tindakan perundangan. Jadi, peniaga berilah kerjasama agar hari raya dapat disambut dalam keadaan sejahtera," katanya.
-- BERNAMA