Lotus's Malaysia Agih 2,000 Pek Makanan Sepanjang Ramadan

17/04/2023 09:22 PM

ALOR SETAR, 17 April (Bernama) -- Lotus’s Malaysia mengagihkan 2,000 pek makanan berbuka puasa kepada golongan asnaf, anak yatim dan kurang berkemampuan menerusi program ‘Lotus’s Cookout With Food Aid Foundation’ sepanjang Ramadan ini seiring dengan semangat #KitakanJiran Lotus’s Malaysia.

Ketua Komunikasi dan Kelestarian Lotus’s Malaysia Hanim Hamdan berkata penganjuran program yang memasuki tahun kedua itu membabitkan empat lokasi iaitu Shah Alam, Selangor; Bahau, Negeri Sembilan; Manjung, Perak dan terakhir Alor Setar, Kedah.

“Ini merupakan inisiatif yang baik, Lotus’s Malaysia bersama rakan strategik Food Aid Foundation menyediakan juadah berbuka puasa kepada komuniti yang memerlukan dan diharapkan ia dapat diteruskan pada tahun akan datang.

“Seperti Ramadan tahun lalu, keseluruhan pek makanan yang disediakan berjumlah 2,000 pek, iaitu 500 pek diperuntukan bagi setiap lokasi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lotus’s Mergong di sini hari ini.

Beliau berkata untuk program hari ini makanan yang disediakan ialah nasi putih, ayam masak kari ala Jepun, acar sayur dan telur dadar.

“Kita mula menyediakan bahan-bahan masakan seawal 2 petang sebelum ketua chef dari Food Aid Foundation dan beberapa sukarelawan dari Kindness Malaysia mula memasak lauk berkenaan.

“Seramai 16 sukarelawan #KitakanJiran yang merupakan warga kerja Lotus’s Malaysia turut membantu memasukkan makanan ke dalam bekas sebelum ia diserahkan kepada penerima. Pemilihan penerima pek makanan ini pula telah dilakukan oleh rakan kongsi kita,” katanya.

Menurut Hanim program tersebut akan diteruskan pada tahun hadapan di lokasi yang lain pula dan jumlah lokasi serta pek makanan juga mungkin akan ditambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Chef Food Aid Foundation Neoh Kean Soon berkata beliau akan memastikan setiap menu makanan mengandungi dua jenis protein dan berkhasiat.

“Bagi masakan hari ini, kita sediakan ayam dan telur serta sayuran. Empat sukarelawan Kindness Malaysia turut membantu proses memasak yang bermula pada 2 petang tadi,” katanya.

Sementara itu, Sabariah Mat Saad, 57, dari Kampung Berjaya, di sini yang turut menerima sumbangan pek makanan itu, berharap pihak Lotus’s Malaysia dapat meneruskan program berkenaan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan sepertinya.

-- BERNAMA