Baju Raya Mahal : Keperluan Atau Kehendak Hawa Nafsu?
Oleh Nur Fariha Rehmy Khairil
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menjelang 1 Syawal dalam masa hanya beberapa hari lagi, di samping biskut raya dan perhiasan rumah, ramai yang mungkin masih tercari-cari pakaian baharu untuk digayakan pada hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Sejak bermula bulan Ramadan sehingga ke hari ini, isu baju raya mahal sama ada untuk lelaki mahupun perempuan terus menjadi bualan hangat dalam kalangan masyarakat terutama di media sosial.
Antara yang paling banyak diperkatakan adalah harga yang dikenakan tidak masuk akal, kualiti jahitan yang tidak kemas dan bahan kain yang mudah rosak. Semuanya ini membanjiri pasaran, sama ada di bazar jualan raya mahupun dalam pelbagai platform e-dagang.
Malah jenama terkenal juga turut mendapat tempias kritik sama apabila kualiti pakaian yang dijual dipertikaikan kerana tidak setanding dengan harga yang ditawarkan.
Tinjauan Bernama mendapati tempat tumpuan orang ramai khususnya golongan B40 membeli-belah persiapan hari raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India dijual pada harga yang agak mahal RM100 ke atas walaupun dijual hanya di bazar raya.
“Tahun ini memang terasa kenaikannya berbanding tiga tahun lepas. Memang nampak beza sebab setiap tahun saya akan membeli baju raya di Jalan TAR. Untuk tahun ini saya memilih untuk membeli baju raya dalam talian sahaja,” kata Nur Nawwarah Abdullah, 18, yang sempat ditemu bual Bernama.
Pandangan sama dikongsi Nurul Atilah Shahrizal, 23, yang turut terkesan dengan kenaikan harga baju raya pada tahun ini.
Kenaikan berkenaan membuatkan pelajar universiti swasta ini tidak bersemangat untuk membuat persiapan raya kerana dilihat harga yang dijual di bazar raya tidak masuk akal dan amat membebankan.
“Saya rasa sepatutnya harga baju raya di Jalan TAR seharusnya mampu milik dan berpatutan tetapi apa yang saya lihat hampir kebanyakannya bermula RM100 ke atas,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.
PUNCA KENAIKAN
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri ketika diminta mengulas isu ini mempunyai pandangan tersendiri mengapa harga baju raya di negara ini semakin meningkat saban tahun dan amat ketara berbanding tiga tahun lepas.
Beliau mengandaikan kenaikan peratusan harga sekitar 10 hingga ke 20 peratus selepas pandemik COVID-19 tiga tahun lepas yang melonjakkan kos sara hidup sehingga memaksa penjual baju raya turut menaikkan harga.
“Jika dibandingkan dengan kenaikan harga makanan, memang masuk akal peningkatan itu yang disebabkan oleh kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia sehingga Malaysia turut merasai kos kenaikan import bahan makanan sehingga peniaga menaikkan harga jualan.
“Untuk baju raya, saya rasa punca kenaikan harga mungkin disebabkan bahan bekalan kain yang diimport serta kos lain seperti pengangkutan yang meningkat bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama.
Namun beliau berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan mengawal harga baju raya, memandangkan ia bukanlah keperluan seperti makanan, malah pengguna masih lagi boleh meneruskan kehidupan seperti biasa sekiranya tidak membeli baju raya.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed, bagaimanapun menafikan kenaikan harga baju raya kerana bahan tekstil yang diimport ke Malaysia sedang mengalami penurunan harga.
Beliau memberitahu Bernama, kilang kain seperti di China dan Bangladesh tidak mengalami kenaikan harga disebabkan harga petroleum yang ketika ini turun turut memberi kesan kepada penurunan harga bahan tekstil.
Kenaikan atau penurunan harga petroleum turut memberi kesan kepada harga tekstil memandangkan kebanyakan fabrik yang digunakan ketika ini turut diperbuat daripada polimer yang berasaskan petroleum.
“Disebabkan itulah Jakel mampu menawarkan harga murah dan berpatutan kepada rakyat Malaysia tahun ini,” katanya menambah, syarikatnya juga turut menawarkan baju raya Rahmah untuk memberikan peluang kepada golongan B40 membeli baju raya.
Faktor lain yang membolehkan syarikatnya menawarkan baju raya Rahmah serendah RM148 untuk baju Melayu lelaki berbanding harga sebelumnya RM258 ke atas adalah disebabkan pembelian secara pukal.
Selain Jakel, terdapat beberapa butik jenama terkenal seperti Sabella turut menyertai inisiatif yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meringankan bebanan rakyat terutama golongan memerlukan.
SCAMMER BAJU RAYA
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berpandangan, pengguna seharusnya tidak mengikut trend baju raya sehingga terpaksa membelanjakan wang begitu banyak hanya semata-mata untuk sepasang baju.
“Murah tidak semestinya tidak berkualiti dan mahal tidak semestinya berkualiti tinggi. Oleh itu, pengguna haruslah pandai membuat perancangan dalam perbelanjaan.
“Pengguna juga perlulah cakna dan waspada penjualan baju dalam talian kerana ada yang menyamar sebagai scammer dan menjual baju raya yang berjenama dengan harga murah tetapi kemudian akan menghilangkan diri atau mencari pelbagai alasan selepas menerima duit daripada mangsa,” katanya.
Scammer penjualan baju raya murah dilaporkan semakin berleluasa tahun demi tahun sehingga mengakibatkan pengguna terpedaya dengan harga ditawarkan. Malah, sebanyak RM121,488 kerugian direkodkan bagi tempoh sembilan tahun sejak tahun 2014 hingga 2022 untuk kes penipuan beli baju raya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din dipetik berkata, tidak dinafikan scammer mengambil peluang untuk menipu terutama sekali melibatkan pembelian secara dalam talian.
Isu penipuan baju raya mendapat perhatian meluas apabila Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut berkongsikan taktik penipuan pembelian baju raya, antaranya, scammer akan membuat akaun palsu di media sosial sebelum menawarkan dengan harga promo serta murah.
Mangsa yang tertarik kemudian akan membuat transaksi ke akaun individu dan apabila tidak menerima parcel, mangsa kemudian menghubungi pihak terbabit sebelum dimaklumkan ada sekatan penghantaran. Scammer akan meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan menjanjikan pulangan wang selepas parcel diterima.
Hakikatnya, semuanya berbalik kepada diri sendiri kerana pelbagai pilihan ada sekiranya mereka ingin memiliki baju raya. Jika tidak mampu membeli baju baharu, bolehah membeli baju terpakai yang harganya lebih murah atau mengenakan sahaja baju raya sebelum ini.
Dalam suasana gembira meraikan kedatangan 1 Syawal, pengguna masih perlu bijak untuk membezakan yang mana keperluan dan yang mana kehendak hawa nafsu.
Gaji awal yang diterima bukan untuk sakan berbelanja, bagi mengelakkan daripada dibebani kesempitan wang apatah lagi hutang kerana masih ada pelbagai perbelanjaan lain diperlukan sama ada ketika perayaan ataupun selepas itu.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff