Sme Bank Peruntuk Dana Rm110,000 Semarakkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Ramadan

19/04/2023 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- SME Bank telah memperuntukkan RM110,000 daripada dana zakat dan korporat bagi menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat Ramadan tahun ini. Secara keseluruhannya, seramai 4,609 orang Asnaf telah mendapat manfaat ini melalui program sumbangan pek makanan, peralatan sekolah dan wang tunai di seluruh negara.

Sebagai inisiatif untuk memberi peluang warga kerja SME Bank memberi semula kepada masyarakat, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail menyatakan, “Seiring dengan nilai teras SME Bank, SMILE, program ini dapat menerap nilai ihsan melalui kerja amal berpasukan. Bagi warga kerja SME Bank dari ibu pejabat, seramai 87 orang telah menjadi sukarelawan bagi Program Imarah Masjid yang diadakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Antara aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong membersihkan tujuh buah masjid, surau dan madrasah serta sumbangan makanan berbuka puasa telah dilaksanakan sejak 6 April 2023 sebagai inisiatif mengindahkan dan mengimarahkan masjid dan surau bagi keselesaan ahli kariah.”