Mekanik Raih Rezeki Tambahan Jual Pelita Buluh
PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Memanfaatkan masa terluang ketika “terperangkap” di kampung halaman di Kok Lanas, Kelantan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, bapa kepada lima anak kini berjaya menjadikan pelita buluh sebagai rezeki alternatif bagi menyara keluarga.
Bermula dengan sekadar membuat pelita buluh atau panjut bagi menambah seri di halaman kediaman ibu bapanya pada waktu malam menjelang Aidilfitri ketika itu, Maskuri Mat Zaid, 40, tidak menyangka perkongsian pelita buluh di laman Facebook miliknya berjaya mencuri perhatian rakan-rakannya.
“Akibat tidak dapat rentas negeri untuk pulang ke Bangi, Selangor, saya agak buntu ketika itu memikirkan tidak dapat membuka bengkel kereta saya. Sekadar ingin menghilangkan perasaan itu, timbul idea untuk cari buluh dan hasilkan pelita buluh.
“Apabila saya kongsi gambar dan video di Facebook, ramai yang puji keunikan pelita buluh bertingkat hasil rekaan saya. Tak sangka mereka bertanya sama ada saya ambil tempahan. Dari situ saya terfikir untuk usahakan pembuatan pelita buluh sebagai sumber pendapatan kedua,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Sungai Merab, Bangi baru-baru ini.
Lebih dikenali sebagai Nazar, beliau menganggap “ujian” pandemik COVID-19 sebagai pembuka pintu rezeki walaupun kehilangan sementara mata pencarian hakiki iaitu sebagai mekanik ketika itu kerana tidak dapat menjalankan operasi perniagaan bengkel kereta yang diusahakan sejak 13 tahun lepas.
Nazar berkata perniagaan pelita buluh buatannya yang kini memasuki tahun ketiga itu berjaya dihasilkan dengan lancar hasil bantuan dua rakan serta isterinya, Siti Abibi Rashid, 39, yang memainkan peranan mempromosikan produk berkenaan.
Beliau berkata terdapat dua jenis pelita yang dihasilkannya iaitu pelita buluh setingkat dan dua tingkat yang masing-masing mempunyai jumlah sumbu berbeza iaitu enam sumbu bagi pelita buluh setingkat dan 12 sumbu bagi pelita buluh dua tingkat.
Berkongsi proses pembuatan pelita buluh, Nazar berkata bagi menjimatkan masa dan tenaga apabila tempahan dibuka iaitu dua minggu sebelum Aidilfitri, beliau membuat pembelian awal benang sumbu pelita, besi sumbu pelita dan menyiapkan penutup minyak tanah.
“Bahagian-bahagian asas ini biasanya kami mula sediakan empat bulan sebelum raya (Aidilfitri). Apabila memasuki Ramadan, saya akan periksa mesin pemotong kayu dan drill (mesin penebuk lubang) untuk pastikan ia berada dalam keadaan baik,” kata lulusan Giat MARA Pasir Putih dan Giat MARA Kota Bharu dalam bidang Automotif itu.
Memasuki bulan Ramadan, Nazar berkata beliau akan menempah dua jenis buluh yang bersesuaian untuk dijadikan pelita buluh iaitu buluh madu dan buluh gading.
Walaupun sibuk menguruskan bengkel kereta pada sebelah siang, beliau bersama dua rakannya akan menyiapkan tempahan pelita buluh pada sebelah malam bermula 9 malam sehingga selesai menyiapkan tempahan mengikut jumlah dan hari yang telah ditentukan pelanggan.
“Bila pelita sudah siap, saya biasanya akan hantar sendiri kepada pelanggan bagi menjaga kualiti produk memandangkan sebelum ini saya guna perkhidmatan penghantaran barang, namun pelanggan merungut kerana pelita buluh yang diterima dalam keadaan rosak,” katanya.
Mengenai harga pelita yang dihasilkannya, Nazar berkata harga bagi pelita buluh setingkat ialah RM30 manakala dua tingkat dijual pada harga RM50.
“Kalau pelanggan tempah maksimum 30 pelita buluh, saya akan beri potongan harga,” katanya.
Berkongsi tip penjagaan pelita buluh agar tahan lama, beliau berkata pelanggan perlu menyembur cat lapisan jernih di seluruh bahagian pelita buluh bagi mengelak buluh daripada mereput.
“Kalau dijaga dan disimpan elok, insya-Allah boleh guna dua kali raya,” katanya.
-- BERNAMA