Ops Pantau 2023: Lebih 66,700 Premis Diperiksa, 374 Kes Dikompaun Bernilai Rm60,200
PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 374 kes pelbagai kesalahan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM60,200 dikesan melalui pemeriksaan terhadap 66,701 premis di seluruh negara dalam Ops Pantau 2023 yang dilaksanakan dari 23 Mac hingga 21 April lepas.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata operasi itu dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan pengguna mudah mendapat bekalan makanan serta barangan keperluan harian pada harga munasabah.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan di lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan dalam talian.
“Fokus pemantauan antaranya bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan Aidilfitri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata pihaknya turut menerima sejumlah 1,127 aduan sepanjang tempoh itu.
Katanya KPDN akan terus proaktif melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan terhadap premis setiap hari di seluruh negara walaupun operasi itu telah tamat tempoh pelaksanaan.
-- BERNAMA