RUMAH TERBUKA: KEPERLUAN ATAU TUNTUTAN?
Oleh: Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi dan Dr Noor Hafizah Mohd Haridi
Rumah terbuka bukanlah kewajipan dalam agama kerana majlis ini berbentuk adat, budaya masyarakat tempatan. Tidak semua negara Islam di dunia meraikan rumah terbuka. Negara Arab contohnya, mereka lebih mengutamakan menyediakan atau bersedekah juadah berbuka puasa selain keutamaan menunaikan solat hari raya.
Jika ditelusuri konsep rumah terbuka ini diadakan atas beberapa faktor iaitu ziarah, meraikan atau memuliakan jiran, menghubungkan silaturahim dan berkenal-kenalan. Namun, kebelakangan ini konsep dan ‘roh’ rumah terbuka sudah semakin dilupakan dan dilihat dicemari dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak.
Konsep ziarah menziarahi atau kunjung mengunjungi di hari raya sangat dituntut bagi mengukuhkan tali persaudaraan yang jauh mahupun dekat dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, jiran, sahabat handai dan kenalan.
Secara dasarnya, budaya berziarah merupakan antara cara yang baik dalam mengeratkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam sebagaimana dijelaskan melalui hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:
“Ada seorang lelaki menziarahi seorang saudaranya di satu desa lain, kemudian Allah memerintah Malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah lelaki itu melalui jalan tersebut, berkatalah Malaikat kepadanya: “Ke mana engkau hendak pergi?” lelaki itu menjawab: “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah suatu kenikmatan yang engkau akan peroleh dari saudaramu itu?” Ia menjawab: “Tidak, saya berjumpa dengannya kerana saya mencintai, menyayanginya kerana Allah.” Malaikat lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu dan memberitahumu bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah.” (Riwayat Muslim)
Selain itu budaya ziarah di Aidilfitri juga melambangkan perkongsian rezeki yang dimiliki yang secara tidak langsung memberi kegembiraan dan bersedekah kepada orang lain selain mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah SWT.
Apa yang menjadi isu ketika ziarah rumah terbuka ialah masa yang ditetapkan oleh tuan rumah. Adakalanya masa yang ditetapkan agak singkat atau terlalu panjang. Terdapat juga jemputan yang hadir di saat-saat akhir atau tidak memenuhi undangan atas alasan sibuk, kesesakan lalu lintas, jauh, banyak jemputan lain sehingga menyebabkan lambakan makanan dan pembaziran.
Ini belum lagi mengambil kira jemputan yang hadir pada lewat malam tanpa memikirkan waktu istirehat tuan rumah. Jika dibandingkan zaman dahulu dan kini, penerapan nilai-nilai murni atau adab berziarah oleh ibu bapa yang membawa kanak-kanak kurang diamalkan. Terdapat juga ibu bapa atau keluarga yang membiarkan kanak-kanak bermain seperti di rumah sendiri, mengambil jumlah makanan yang banyak dan membazir, merosakkan barang atau permainan, menjadi “tourist guide” menjelajah rumah dan ruang yang dianggap sensitif oleh tuan rumah apalagi ditambah pula dengan mereka yang tanpa segan silu terus membuka sampul duit raya di hadapan jemputan lain seterusnya, memberi komen jumlah duit raya yang dapat.
Konsep “melentur buluh biarlah dari rebungnya” perlu diterapkan dari awal bagi mengelakkan pertelingkahan, salah faham dan persepsi negatif daripada tuan rumah dan jemputan lain yang mampu melunturkan roh ziarah itu sendiri serta tidak memberi hikmah serta barakah kepada semua.
Meraikan dan muliakan jiran
Siapakah jiran menurut agama Islam? Menurut Imam Al-Nawawi Rahimahullah, mereka yang dianggap jiran merupakan orang yang berada 40 buah rumah dari sudut kanan, kiri, depan dan belakang kediaman individu. Selain itu, jiran mempunyai konteks yang tersendiri, antaranya ialah jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan, jiran yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan jiran dengan mereka yang bukan Islam. Keharmonian dalam hidup berjiran amat ditekankan dalam Islam menerusi konsep habluminannas iaitu hubungan sesama manusia. Ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud “sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah mereka berbuat baik kepada jirannya”. (Hadis riwayat Muslim)
Dalam konteks persekitaran harini mereka yang menetap dalam satu taman perumahan dianggap sebagai satu jiran besar kerana kedudukan rumah yang berdekatan serta berhampiran yang saling bantu membantu dan memerlukan antara satu sama lain. Menjaga hubungan kejiranan adalah penting dalam menjalinkan komunikasi dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga serta mewujudkan kehidupan harmoni, aman dan sentosa tanpa sengketa, hasad dengki dan permusuhan seterusnya melahirkan masyarakat berjiwa penyayang, prihatin, tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan mewujudkan komuniti umat Islam yang bersatu padu.
Namun, apa yang dapat diperhatikan kini, rumah terbuka yang diamalkan dengan menjemput mereka yang tertentu, memberi keutamaan orang luar daripada jiran malah terdapat juga tuan rumah membuat jemputan rumah terbuka secara tertutup. Situasi ini sudah lari daripada konsep meraikan jiran apatah lagi untuk membentuk hubungan yang baik dalam kejiranan setempat. Sebaiknya ialah, jemputan perlu diberi keutamaan kepada jiran sebagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar r.a. iaitu; Wahai Abu Dzar! apabila engkau memasak sup (daging bersama tulang), maka lebihkanlah kuah dan isinya dan ingatkanlah juga jiran tetanggamu (dengan menghulurkan sedikit padanya)”. Dalam maksud hadis tersebut secara jelas baginda meminta umatnya memberi keutamaan kepada jiran berbanding orang luar. Maka dalam konteks jemputan rumah terbuka, keutamaan ialah mereka yang berada berdekatan dan berhampiran dengan rumah tuan rumah. Apabila dilihat pada situasi hari ini, tidak dinafikan terdapat juga jiran yang tidak mengenali di sebelah kiri, kanan, depan dan belakangnya. Ini mungkin disebabkan faktor kesibukan kerja, keterbatasan masa, keselamatan dan sebagainya. Namun ketika Aidilfitri inilah peluang mengenali jiran melalui rumah terbuka perlu dimanfaatkan secara sepenuhnya.
Silaturrahim
Rumah terbuka berpegang kepada konsep mengeratkan silaturahim iaitu menghubungkan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia termasuklah ahli keluarga, kaum kerabat mahupun jiran tetangga. Hubungan silaturahim melalui rumah terbuka dapat dibina dalam tiga bentuk iaitu silaturahim sesama muslim, antara keluarga dan kaum kerabat serta silaturahim antara yang bukan seagama.
Rasulullah SAW sering menekankan hubungan silaturahim antaranya, “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Konteks rumah terbuka kini dilihat konsep ‘mengeratkan’ dan ‘menghubungkan’ sudah tidak kemas dan agak longgar. Ini disebabkan jumlah jemputan yang ramai menyebabkan tuan rumah tidak sempat melayan, berkomunikasi, bertanya khabar dan beramah mesra, ada yang hanya sempat berkomunikasi beberapa saat atau beberapa minit.
Rumah terbuka diadakan sekadar menjemput rakan, jiran, saudara mara yang memenuhi ‘korum’ dan ‘kuota’ jemputan. Tidak dinafikan terdapat juga jemputan yang mendapat ‘label’ layanan baik, sederhana dan biasa-biasa. Situasi ini tidak memungkinkan roh silaturahim itu akan tercapai, malah mampu terlerai.
Terdapat juga tuan rumah yang mementingkan konsep dan tema tertentu untuk ditonjolkan ketika majlis diadakan dengan melantik juru gambar profesional untuk dimuat naik dalam media sosial.
Daripada sudut makanan dan pakaian pula, dilihat seperti terdapat pertandingan rumah terbuka, semakin pudarnya roh bersedekah untuk menjamu dengan ikhlas dengan memilih makanan dan pakaian yang trending serta idaman kerana tuntutan mendapat tanda suka di media sosial. Begitulah juga terdapat rumah yang bertungkus lumus menukar hiasan dalaman, mempamerkan kemewahan, sanggup berhutang untuk mendapat pujian daripada tetamu yang pastinya sudah lari daripada konsep asal rumah terbuka itu sendiri.
Berkenal-kenalan
Melalui rumah terbuka ini membuka peluang kepada tuan rumah dan tetamu untuk berkenal-kenalan sesama muslim, bukan muslim, ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tetangga tanpa mengira bangsa, warna kulit, pangkat mahupun keturunan yang secara tidak langsung menjadikan ikatan persahabatan yang erat, berkongsi setiap rezeki yang dimiliki sekali gus memberikan kegembiraan kepada orang lain.
Namun dengan kecanggihan teknologi kini menjadikan tetamu yang hadir menjadi agak individualistik, membuat hal sendiri, lebih leka dan rela melayan gajet daripada berkomunikasi atau mengenali orang lain. Hakikatnya, rumah terbuka masih merupakan medium terbaik kepada tetamu khususnya ahli keluarga baru mengenali generasi sebelumnya, begitu juga yang muslim mengenali bukan muslim. Jika sikap sebegini yang diamalkan oleh tetamu, maka konsep asal rumah terbuka yang diharapkan untuk saling mengenali akan bertukar menjadi saling menyendiri atau membuat hal sendiri.
Selain perkara yang telah dibincangkan di atas, terdapat beberapa pro dan kontra mengadakan rumah terbuka ini, antaranya menjadi medan dakwah kepada non muslim, pelancong asing dan ahli keluarga yang berkahwin campur. Di sinilah nilai-nilai murni Islam dan budaya Melayu ditonjolkan melalui perpaduan, keharmonian, toleransi, hormat antara agama dan Islam mementingkan keamanan dan kedamaian sesuai dengan Malaysia yang berbilang kaum, budaya, etnik dan kepercayaan.
Selain itu, amalan rumah terbuka ini mampu menjimatkan masa, dapat berkumpul, bertemu ahli keluarga yang tinggal berjauhan dan mengamalkan konsep tasamuh atau sifat toleransi dalam kehidupan bermasyarakat yang lebih menghargai perbezaan antara mereka.
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu kini disamping kos harga barang yang tinggi, perlunya kepada konsep berjimat cermat dan memberi keutamaan kepada keperluan diri dan keluarga berbanding orang luar. Dengan mengadakan rumah terbuka, memerlukan sumber kewangan yang kukuh serta mencukupi, bukannya sanggup berhutang kerana menjamu tetamu yang berkapasiti ramai. Kepada mereka yang mempunyai lebihan wang, ada baiknya wang itu disalurkan kepada pihak yang memerlukan seperti rumah kebajikan, orang miskin, fakir dan sebagainya.
Saranan
Jadilah individu yang bijak merancang, berjimat cermat, melihat masa depan dengan mengukur baju di badan sendiri. Jika terdapat dalam kalangan kita yang mampu mengadakan rumah terbuka, dicadangkan memilih masa yang sesuai dengan menetapkan masa untuk saudara-mara, rakan sekerja, rakan-rakan anak, kenalan dan jiran bagi memastikan roh dan konsep asal rumah terbuka tidak keluar dari syarak.
Sambutan rumah terbuka di pejabat pula, cukuplah diadakan dan disambut pada peringkat induk yang melibatkan semua pekerja tanpa perlu disambut di peringkat jabatan dan unit.
Perancangan kewangan dan perbelanjaan mestilah diadakan terlebih dahulu. Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan berlakunya krisis kewangan dan kita terdedah dengan sikap berhutang atau meminjam. Majlis rumah terbuka yang ingin diadakan perlu mengikut kemampuan individu yang menganjurkan bukannya mengikut normaliti masyarakat semasa yang terpengaruh dengan orang lain.
Sebagai individu muslim, tarbiyah sebulan berpuasa di bulan Ramadan sewajarnya memberi kesan agar sentiasa bersederhana dan mengutamakan keperluan penting dalam kehidupan seharian.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi, merupakan pensyarah Akidah dan Pemikiran Islam, Fakulti Pendidikan Open Universiti Malaysia (OUM)
Dr Noor Hafizah Mohd Haridi merupakan pensyarah Kanan di Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Selangor (UIS)