Bernama Tv, Radio Serah Apron Promosi Siaran Di Mytv
IPOH, 26 Mei (Bernama) -- Bernama TV dan Bernama Radio mengambil langkah proaktif dalam usaha mempromosikan program eksklusif kedua-dua saluran itu di platform penyiaran digital percuma MYTV kepada masyarakat, menerusi pengedaran apron kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Perak.
Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Hambali berkata pada program yang berlangsung di Restoran Nasi Briyani Bukhara itu, kira-kira 200 helai apron diserahkan untuk dipakai oleh pekerja premis supaya Bernama TV dan Bernama Radio lebih dikenali di bandar raya ini dan ke seluruh negara.
“Kempen ini dimulakan dengan program Korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bernama anjuran bahagian komunikasi korporat dengan kerjasama MYTV di Bazaria Lembah Pantai pada 13 April lepas.
“Penyerahan sebanyak 2,000 unit apron iaitu kepada peniaga Bazar Ramadan di Lembah Pantai sebanyak 600 unit dan selebihnya di tiga lokasi lain di seluruh negara,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi penyerahan apron tajaan Bernama dan MYTV di sini hari ini.
Apron berkenaan diserahkan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama D. Arul Rajoo kepada Naib Presiden PRESMA Abdul Hamid Abdul Muthalif.
Nor Hamzeela berkata sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, sebahagian besar wartawan berada di negeri ini, justeru peluang itu diambil untuk mengedarkan apron berkenaan.
Sambutan HAWANA 2023 akan diadakan di negeri ini bermula esok hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
-- BERNAMA