Ada STR Tambahan RM600 Kepada Semua Penerima Fasa 3? Tidak Benar, Bantuan Tambahan Hanya Untuk Isi Rumah Miskin Tegar

12/07/2023 04:39 PM
By :
Puti Sarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular di Telegram berhubung pemberian bantuan tambahan STR sebanyak RM600.
  • Ramai beranggapan bantuan itu bakal disalurkan kepada semua penerima bagi Fasa 3 STR.
  • Namun, bantuan tambahan itu dikhaskan untuk penerima isi rumah yang berada dalam kategori miskin tegar dan disalurkan dalam bentuk baucar dan barangan makanan asas.
  • Kementerian Kewangan nafi bantuan tambahan diberikan bersekali dengan  bayaran STR Fasa 3.
  • Pautan yang disertakan pada hantaran juga adalah klik umpan (clickbait) yang membawa ke sebuah laman sesawang.

pix1

 

LATAR BELAKANG

Mendengar hebahan mengenai pemberian sesuatu bantuan pastinya ia merupakan berita gembira.

Khabar seumpama ini membawa keterujaan ramai terutama bagi individu yang memerlukan kerana setiap bantuan yang disalurkan besar maknanya bagi meringankan beban mereka.

Baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan tambahan STR berjumlah RM600 kepada penerima bagi Fasa 3.

 

MENGENAI DAKWAAN

pix2

 

MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp yang memaparkan tangkap layar sebuah hantaran di Telegram mengenai bantuan tambahan STR Fasa 3 sebanyak RM600.

Pada hantaran Telegram itu tertera poster bertajuk ‘Senarai Penerima STR Tambahan RM600’ yang turut memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada kapsyen hantaran tersebut ada menyatakan senarai penuh penerima berserta pautan (link) untuk dirujuk.

Benarkah ada bantuan kerajaan seperti itu? Jom ikut MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Laman Sesawang Jawatankerja.com

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti hantaran tersebut dan mendapati di bahagian bawah poster tersebut tertera ‘Baca Penuh Laman Sesawang www.jawatankerja.com’.

Kami teruskan semakan dengan membuat carian di laman web tersebut menerusi enjin Google. Kami dapati sememangnya memang ada laman sesawang seperti yang dinyatakan di poster.

Menatal kandungan laman www.jawatankerja.com, kami dapati ia sering memuat naik artikel yang menghebahkan pelbagai bentuk bantuan.

Seterusnya, kami klik butang carian di laman sesawang terbabit dengan menggunakan kata kunci ‘RM600’.

Hasilnya kami menemukan artikel berhubung senarai penuh penerima STR tambahan sebanyak RM600 seperti yang didakwa.

 

pix3

 

Menerusi artikel tersebut juga tertera saluran (channel) Telegram info mengenai bantuan.

Kami klik pautan Telegram tersebut dan ia membawa kami ke Telegram ‘Info Jawatan & Bantuan Terkini’.

Apabila kami sudah memasuki Telegram terbabit, kami menemukan hantaran dan poster gambar yang sama seperti dakwaan tular.

Hantaran itu dimuat naik di Telegram pada 2 Julai 2023.

 

pix4

 

Pautan Adalah ‘ClickBait’, Tarik Orang Ramai Ke Laman Sesawang

Kami kemudian klik pada pautan ‘Senarai Penuh Penerimanya’ dan ia membawa ke laman sesawang jawatankerja.com  yang sama kami temui.

Bagi mendapatkan latar belakang laman sesawang tersebut, kami menggunakan Whois Lookup dan mendapati ia adalah aktif.

Berkemungkinan pautan tersebut adalah ‘clickbait’ yang mana sekiranya orang ramai klik, ia akan membawa ke laman sesawang sama yang kami temui.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘clickbait’ atau dalam Bahasa Melayu klik umpan bermaksud iklan, teks atau gambar yang menarik perhatian agar pengguna terdorong untuk mengklik hiperpautan atau pautan terutamanya dalam media sosial.

 

Sumbangan Tunai Rahmah

Kami beralih pula ke media sosial bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Hasilnya, kami temui beberapa hantaran yang turut membuat hebahan berhubung bantuan tambahan itu antaranya anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, ramai pengguna memuat naik makluman bantuan tambahan STR itu.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan MyCheck sebelum ini berhubung pembayaran bantuan STR, ia adalah berfasa iaitu STR Fasa 1 diawalkan pada Januari, Fasa 2 dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu pada pertengahan Ramadan atau awal April.

Bagi Fasa 3 pula disalurkan mulai Jun 2023 secara berperingkat.

Namun, berbalik kepada hebahan di Telegram, ia dikeluarkan pada Julai 2023 yang mana pemberian STR Fasa 3 sudah pun diagihkan.

 

Bantuan Tambahan STR Memang Ada Tetapi Hanya Khas Untuk Penerima Mengikut Data E-Kasih

MyCheck teruskan semakan lanjut dengan mencari maklumat lain di media sosial.

Kami menemukan hantaran dimuat naik Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) berhubung bantuan itu di Facebook pada 24 Februari 2022.

Menurut JaPen, kerajaan akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-kasih.

Bagaimanapun, sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.

 

pix5

 

Bukan itu sahaja, kami turut temui laporan BERNAMA di laman sesawang rasmi Pejabat Perdana Menteri.

 

pix6

 

Menurut laporan ‘Disbursement Of STR Phase 2 To Be Done By Mid-Ramadan-PM Anwar’, seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2023, kerajaan akan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM600 kepada isi rumah penerima STR.

STR Fasa 1 bagi golongan B40 diberikan kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 yang layak menerima bantuan sehingga RM2,500 berdasarkan jumlah anak.

Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin menurut data e-Kasih, bermakna keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima bantuan sehingga RM3,100.

E-Kasih adalah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional yang mana mengandungi maklumat kemiskinan individu.

 

Kenyataan Rasmi Kementerian Kewangan

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di Facebook, maklumat mengenai tambahan STR sebanyak RM600 bersekali bayaran STR Fasa 3 adalah palsu.

Menurut kenyataan itu, STR Fasa 3 sudah disalurkan pada 26 Jun lepas yang mana program STR 3 ini disasarkan kepada penerima yang layak.

 

pix7

 

Pihaknya juga menyatakan bahawa tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023 yang mana pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDM) di pautan yang disediakan LHDM.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, hebahan bantuan tambahan STR sebanyak RM600 kepada semua penerima Fasa 3 adalah tidak benar.

Bantuan tambahan itu memang ada namun khusus kepada mereka yang layak iaitu isi rumah miskin tegar, bukan kepada semua penerima Fasa 3.

Pautan yang dikatakan menunjukkan senarai penerima bantuan juga tidak benar tetapi merupakan klik umpan untuk ‘memancing’ pengguna ke laman sesawang lain.

Kebiasaannya pemakluman berhubung bantuan daripada kerajaan adalah melalui saluran rasmi seperti di LHDM.

Pesan kami di MyCheck jangan sebar hebahan yang tidak sahih sehingga boleh mendatangkan kekeliruan ramai. Pastikan anda semak segala butiran fakta terlebih dahulu.

Ingat, Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. JAWATAN KERJA

  2. Ada penerima STR yang layak dapat RM600 tambahan: Berikut senarai penuh penerimanya

  3. Jawatan.Kerja - Telegram

  4. Whois.domaintools

  5. klik umpan

  6. Semakan & Permohonan Online - Facebook

  7. Rezeki Terkini - Facebook

  8. Tunturan Rakyat Pengeluar - Facebook 

  9. MyCheck Malaysia - Kerajaan Salur Bantuan RM1,500 Sempena Aidiladha? Tidak Benar, Poster Tular Adalah Palsu

  10. Jabatan Penerangan Malaysia - Facebook

  11. DISBURSEMENT OF STR PHASE 2 TO BE DONE BY MID-RAMADAN - PM ANWAReKasih.

  12. PERHATIAN BERITA PALSU Kementerian... - Kementerian Kewangan | Facebook