Ahli Majlis Perundingan Masjid Mesti Berfikiran Besar, Jadikan Peranan Masjid Lebih Dinamik - Sultan Nazrin
IPOH, 30 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agar Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid (MPM) yang dilantik hendaklah berfikiran besar supaya membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik dan lagi bermakna.
Baginda bertitah peranan masjid perlu dikeluarkan dari kotak sempit, dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lampau dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.
“Semoga masjid-masjid di negeri Perak akan dapat ditingkatkan pengimarahannya melalui idea-idea segar yang dicetuskan dalam persidangan Majlis Perundingan Masjid. Semoga Allah Subhanahuwataala memberikan petunjuk dan hidayah memandu kita ke jalan yang lurus,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Annuar Zaini.
Pada majlis itu Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Ahli-Ahli MPM yang telah dilantik.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah MPM ini, ialah majlis syura, merupakan entiti baharu, yang diperkenalkan dan ditubuhkan buat pertama kali dan semoga melalui penubuhan MPM ini akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.
“Idea penubuhan Majlis Perundingan Masjid, dicetuskan melalui majlis syura, iaitu program percambahan minda yang diadakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dengan ahli-ahli jawatankuasa masjid di negeri Perak.
Idea tersebut telah diangkat sembah dan mendapat perkenan beta. Beta turut memperkenankan nama-nama yang diperakukan oleh urus setia untuk dilantik sebagai Ahli Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak,” titah baginda.
Dalam pada itu Sultan Nazrin bertitah masjid berperanan penting sebagai pusat yang mengembangkan syiar Islam dan membangunkan tamadun dan tempat paling istimewa di muka bumi ini, tempat yang diiktiraf mulia, suci dan barakah untuk melakukan ibadah.
Baginda bertitah negeri Perak ketika ini mempunyai 707 buah masjid dan seiring dengan pertumbuhan penduduk, dikembari pembangunan kawasan penempatan dan perumahan yang baharu, permintaan untuk membina masjid baharu terus dikemukakan.
Justeru, Sultan Nazrin bertitah masyarakat Islam di negara ini pada hari ini, sewajibnya bersyukur kerana mempunyai kemudahan masjid yang dapat memenuhi permintaan dan perkara yang lebih perlu diberikan perhatian ialah aspek pengimarahan masjid.
Baginda bertitah banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid, dan banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.
“Oleh itu falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, 30 malam setahun pada bulan Ramadan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha.
Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi, banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan untuk membina masjid, dan sewajarnya diperlengkap dengan usaha untuk mengimarahkan masjid,” titah baginda.
Sementara itu, Annuar yang dilantik sebagai Pengerusi MPM mendahului dalam penerimaan watikah itu diikuti Saarani sebagai Ahli Majlis Dilantik bersama Mufti Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari dilantik sebagai Setiuasaha MPM, manakala 50 ahli lain yang dilantik mewakili masjid termasuk tidak kurang 10 orang dalam usia belia dan tidak kurang 10 orang muslimat.
Antara peranan MPM bertanggungjawab membantu menyumbang idea dan pandangan, mengupas serta memberi maklum balas berhubung dasar sedia ada dan dasar-dasar baharu berkaitan pentadbiran masjid, pengurusan kewangan masjid, aktiviti-aktiviti masjid dan perkara-perkara lain berkaitan masjid.
-- BERNAMA