Berniaga Elok-elok, Jangan Sombong Dengan Pelanggan, Titah Sultan Ibrahim
Oleh: Lucia Terey Anak John
JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) -- “Kalau berniaga, berniaga elok-elok, ikhlas. Jangan kita sombong dengan tetamu atau pelanggan," itu pesanan ringkas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada Kamisah Ali, pengusaha Pisang Goreng Mawar di sini.
Kamisah, 62, berkata titah yang disampaikan ketika dipanggil menghadap Seri Paduka Baginda ke Istana Pasir Pelangi atas urusan rasmi pada 2016 itu, kekal menjadi prinsip utamanya dalam menjalankan perniagaan pisang goreng di Jalan Sri Gelam sejak 2000.
Dalam pertemuan singkat, namun penuh bermakna itu, Kamisah berkata Sultan Ibrahim turut berpesan agar dia kekal berniaga di lokasi sedia ada, yang dahulunya dikurniakan oleh ayahanda Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Kamisah berkata hal ini kerana sejarah perniagaan Pisang Goreng Mawar bermula daripada Almarhum Sultan Iskandar sendiri yang ketika itu sungguh menggemari rasa dan tekstur pisang goreng jualannya.
“Sebelum berniaga di Sri Gelam, saya berniaga di tepi Jalan Kolam Ayer yang menjadi laluan Almarhum Sultan Iskandar untuk keluar dan masuk istana. Ada suatu masa itu pada bulan Ramadan, saya tidak berniaga dan Almarhum Tuanku tercari-cari. Yang tidak sangkanya, Almarhum Tuanku menyuruh escort (pasukan pengiring) istana mencari kami di rumah kerana telah berkenan (suka) dengan pisang goreng ini.
“Setelah peristiwa itu, Almarhum Tuanku juga berkenan mengurniakan tapak gerai (di Sri Gelam) dan sebuah pondok untuk saya berniaga agar keadaan kami lebih selesa dan saya ingat selepas kemangkatan Almarhum Tuanku, saya tidak boleh lagi berniaga di sini, namun Sultan Ibrahim meneruskan legasi ayahandanya dan tetap menjaga kami di sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak hanya itu, Kamisah berkata pada 2021, Seri Paduka Baginda turut berkenan membantu menaik taraf kemudahan pondok perniagaannya agar lebih ramai pelanggan dapat menikmati juadah itu dalam keadaan yang selesa selepas negara dilanda pandemik COVID-19 ketika itu.
Selain itu, jika mempunyai tetamu undangan di istana, Sultan Ibrahim juga sering menempah pisang goreng dari gerainya untuk santapan Seri Paduka Baginda bersama-sama tetamu sehingga mendapat julukan "Pisang Goreng Diraja" oleh penduduk setempat.
“Sultan Ibrahim ini sifatnya seperti ayahanda Seri Paduka Baginda, berjiwa rakyat. Apabila kami nampak Seri Paduka Baginda berangkat (melalui kawasan gerai), kami akan melambai-lambai ke arah Sultan Ibrahim. Rasa sedih juga apabila Sultan Ibrahim berangkat ke Kuala Lumpur (Istana Negara) untuk menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.
" … kerana jasa Sultan Ibrahim dan Almarhum Sultan Iskandar, rezeki saya melimpah-ruah, malah kini sudah dapat mengembangkan perniagaan ke Singapura,” katanya yang menggunakan pelbagai jenis pisang seperti pisang nangka, nipah dan raja, serta ramuan tepung istimewa untuk menjadikan juadahnya lazat dan rangup.
Uniknya, pisang goreng Mawar juga perlu dicicah dengan sambal kicap yang sinonim dengan negeri Johor, bagi memberikan pengalaman rasa yang berbeza, sekali gus menjadikan ia makanan yang wajib dicuba oleh pelancong dari dalam dan luar negara setiap kali mereka berkunjung ke negeri di selatan Semenanjung ini.
Sultan Ibrahim bersemayam di Istana Negara bermula 31 Jan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.
-- BERNAMA