Nota Jemaah Menteri Mengenai Pembangunan Semula Gaza Akan Dibentang - Dr Dzulkefly

12/02/2024 09:33 AM

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Satu nota Jemaah Menteri mengenai agenda pembangunan semula Gaza akan dibentangkan kepada anggota Kabinet tidak lama lagi bagi mendapatkan pertimbangan mengenai penglibatan Malaysia dalam usaha pembangunan semula wilayah bergolak itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata nota Jemaah Menteri itu akan memuatkan cadangan pembinaan sebuah hospital ehsan di Gaza yang melibatkan 150 katil yang akan dimajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Nota itu juga akan menyebut mengenai pembangunan semula Gaza dan agenda Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) secara menyeluruh. 

“Kalau (penerimaan) positif, Perdana Menteri dan Kabinet mahukan ianya (nota Jemaah Menteri) dibentangkan dalam bentuk memorandum, Kementerian Kesihatan bersedia untuk menyiapkan cadangan itu,” katanya selepas majlis makan malam International Post War Gaza Rebuilding Planning Session yang dihadiri 250 tetamu dari 25 negara di sini Ahad malam. 

Apabila ditanya berapa banyak Malaysia telah sumbangkan untuk Gaza, Dr Dzulkefly berkata Malaysia telah menjanjikan RM100 juta bagi Gaza dan sehingga ini  RM20 juta telah dilaksanakan. 

Pada majlis makan malam itu lebih RM30 juta dan lima ambulans berjaya dikumpulkan dari 17 penyumbang dalam dan luar negara bagi tujuan pembangunan semula Gaza.

 Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata usaha pembangunan semula Gaza akan dimulakan pada bulan Ramadan nanti. 

“Misi ini akan diuruskan oleh MAPIM bersama rakan-rakan antarabangsa kami. Semasa Ramadan, makanan akan dihantar pada kadar segera dan MAPIM bercadang membina semula hospital di bandar Gaza,” kata Mohd Azmi.  

Penyumbang terbesar dalam majlis makan malam berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Well Asia Group of Companies Datuk Seri Abdul Majid Zainal Abidin yang menyalurkan RM20 juta bagi pembangunan Gaza. 

Abdul Majid, 70, ketika ditemui berkata beliau berharap sumbangan itu digunakan untuk membina semula masjid dan sekolah di Gaza. 

Serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lepas yang sudah lebih 120 hari telah mengorbankan lebih 28,000 nyawa dan menyebabkan lebih 60,000 cedera. 

-- BERNAMA