Pasukan Khas Jknk Pantau Juadah Bazar Ramadan - Dr Zaini

14/02/2024 02:26 PM

TANAH MERAH, 14 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menggerakkan pasukan khas bagi memantau penyediaan dan kebersihan makanan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa nanti.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata pasukan tersebut akan memantau menerusi bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK yang dilantik.

"Kekuatan anggota pasukan ini bergantung berapa banyak bazar Ramadan dibuka di setiap daerah bagi memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat kepada orang ramai.

"Pasukan ini juga akan digerakkan bagi memastikan mereka yang nak berniaga wajib mempunyai latihan penyediaan makanan dan mendapatkan suntikan sebelum memperoleh lesen berniaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana di Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata sampel makanan di bazar Ramadan juga akan diambil untuk tujuan analisis supaya tidak berlaku keracunan makanan selain menjamin kebersihan dan kualiti makanan yang dijual.

"Tahun sebelum ini, kita tidak menerima laporan keracunan makanan yang besar kerana peniaga di negeri ini begitu cakna berkaitan kesihatan makanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata Hospital Bachok dijangka akan diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihaknya pada Mei ini.

Menurutnya sekiranya tiada sebarang masalah, Hospital Bachok akan mula beroperasi dalam tenpoh satu atau dua bulan lagi selepas penyerahan bangunan itu dilakukan.

"Dari segi akses, kita telah menerima perolehan, begitu juga sebahagian perjawatan telah terima penjawatan namun dari segi fizikal, kita belum terima. Kita menunggu arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan menghantar petugas," katanya.

-- BERNAMA