Orang Ramai Diseru Salur Bantuan Persediaan Ramadan Di Gaza

16/02/2024 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Ehsan Relief Malaysia (GERMY) menyeru orang ramai agar menyalurkan bantuan terutama berbentuk makanan ke Gaza sebagai persediaan untuk penduduk di situ menyambut Ramadan bulan depan.

Duta GERMY Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkata keadaan terkini di Gaza adalah serba daif apabila 70 peratus sumber bekalan makanan dan elektrik musnah akibat kekejaman tentera Israel.

“Ketika ini, mereka (tentera Israel) sedang menggunakan ‘senjata’ kelaparan sebagai sasaran kepada penduduk-penduduk Gaza. 

“Kita berhadapan dengan situasi… tiada makanan, terpaksa mengambil air di lopak dan longkang yang kotor untuk minum,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Pengerusi GERMY Aizad Hamidan pula berkata pertubuhan itu adalah NGO yang memfokus kepada misi bantuan segera sejak 2017 dan telah menabur bakti kepada lebih 40 negara. 

Pada 13 Okt lepas, GERMY menghulurkan bantuan makanan panas kepada 10,000 penduduk Gaza yang terkesan. 

“Saya berpeluang ke Mesir membungkus dan memuat naik barang-barang bantuan iaitu pada fasa ke 5, kita hantar 7 hingga 12 trak melalui perbatasan Rafah, insya-Allah sebelum Ramadan ini sekali lagi kita turun ke Mesir untuk menyediakan bantuan," katanya. 

Aizad berkata bantuan yang dihantar adalah barang keperluan kanak-kanak seperti susu formula, kit kebersihan serta tuala wanita kerana hampir separuh penduduk di sana ialah kanak-kanak dan wanita.

Beliau juga berharap ia dapat membantu 1.4 juta penduduk di Rafah dan segala pergolakan akan berakhir serta memberi ruang kepada mereka untuk menyambut Ramadan dengan lebih tenang.

Antara bantuan yang ditawarkan ialah pakej taja iftar harian, taja sahur dan taja 10 ramadan terakhir serta bantuan pek makanan termasuk hadiah Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke Hotline GERMY di talian 012-234 0413 dan di media sosial Facebook GLOBAL EHSAN RELIEF MALAYSIA.

-- BERNAMA