Manfaat Jualan Rahmah Bergerak, Orang Ramai Dapat Barangan Lebih Murah
KUANTAN, 24 Feb (Bernama) -- Jualan Rahmah bergerak yang berlangsung di pekarangan Masjid Kampung Pandan 1 di sini hari ini, dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai khususnya suri rumah bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.
Suri rumah Nana Iswana Ismail, 37, berkata ke Jualan Rahmah itu kerana berhasrat membeli beras bagi menampung keperluan makanan ruji tersebut yang boleh mencecah lebih 20 kilogram (kg) sebulan bagi keluarganya.
"Saya ada lima anak berusia antara dua hingga 12 tahun...budak-budak sedang membesar agak kuat makan. Bila ada jualan seperti ini, memang kami akan lihat jika dapat membeli beras pada harga lebih murah.
"Untuk hari ini, saya dapat (beli) beras import lima kg pada harga RM15 berbanding harga asal RM23.90. Selain itu, saya juga ambil peluang beli ayam segar RM10 seekor," katanya semasa ditemui pada program jualan itu yang berlangsung dari 10 pagi sehingga 1 tengah hari tadi.
Sementara itu, warga emas Rohani Ismail, 71, yang mengetahui tentang program jualan itu daripada rakan berkata beliau dan suami membuat keputusan untuk 'menjenguk' program tersebut untuk mendapat barangan yang boleh dijadikan stok sempena menjelang Ramadan tidak lama lagi.
Beliau sudah menunggu sejam lebih awal sebelum program bermula menyifatkan kunjungannya sebagai 'berbaloi' kerana terdapat pelbagai keperluan asas termasuk barangan kering ditawarkan.
"Kami membeli keperluan seperti minyak masak, susu pekat, gula, tepung gandum, sardin, kicap, sos cili dan kopi serta teh. Barangan yang boleh disimpan lama kerana kami hanya tinggal berdua.
"Mudah buat stok kerana kami tak mahu bersesak mencari barang dua, tiga hari sebelum puasa (bermula). Di sini juga tak perlu bersesak kerana pegawai yang bertugas membantu kami untuk beratur, selain ada khemah dan kerusi sementara menanti giliran membeli," katanya.
Bagi pekerja sendiri Faziana Kamarudin, 40, dari Pandan Dua di sini, menyifatkan kedatangannya ke Jualan Rahmah bergerak itu adalah 'rezeki terpijak' kerana tujuannya ke masjid itu adalah menjemput anak saudaranya yang mengikuti program sempena cuti sekolah.
Melihatkan harga barangan yang ditawarkan, menyebabkan beliau terus membuat keputusan untuk membeli barangan makanan kering dan barangan keperluan seperti sabun pencuci baju, pencuci pinggan dan sabun mandi untuk dibawa ke rumah orang tuanya.
"Ini kali pertama saya berkunjung ke Jualan Rahmah. Sebelum ini hanya lihat iklan di media sosial tapi tidak berkesempatan datang kerana bekerja atau jauh dari rumah. Bila melihat harganya, baru saya sedar kenapa ramai yang membeli di sini.
"Boleh berjimat dan barangan yang ditawarkan juga adalah daripada jenama yang memang kita guna atau dengar... sama seperti jenama yang selalu dibeli di pasar raya," katanya.
-- BERNAMA