Nisfu Syaaban: Tpm, Menteri Ajak Umat Islam Tingkat Amal Ibadah

24/02/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kerajaan Perpaduan mengajak rakyat Malaysia beragama Islam untuk mengambil peluang bagi meningkatkan amal ibadah pada malam Nisfu Syaaban 1445H ini.

Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata malam Nisfu Syaaban itu juga menandakan bahawa Ramadan semakin hampir dan akan tiba tidak lama lagi.

“Marilah kita mengambil peluang dengan kelebihan malam ini untuk memperbanyak ibadah dengan membaca al-Quran, berzikir dan berselawat, menunaikan solat-solat sunat dan lain-lain ibadah agar lebih dekat dengan Allah SWT demi mengharapkan reda dan rahmat-Nya. 

“Salam Nisfu Sya’ban … dan selamat beribadah … ,” katanya.

Senada dengan beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mohktar yang turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama mengimarahkan malam Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan ibadat.

“Semoga Allah memberikan keampunan kepada kita,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula mengajak umat Islam untuk mengimarahkan bulan Syaaban dengan ibadah dan kebajikan menuju Ramadan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata malam Nisfu Syaaban yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, adalah antara malam yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

“Semoga Allah memberi kita semua kesihatan yang baik dan berterusan serta dapat beribadah pada Allah SWT setiap masa, khususnya pada bulan Ramadan nanti dalam keadaan sempurna dan diterima Allah SWT. Insya-Allah,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan salam Nisfu Syaaban dan berharap agar ia membawa keberkatan kepada seluruh umat Islam.

“Di malam yang penuh berkah ini, marilah kita renungkan akan keagungan Allah SWT dan berdoa agar kita semua dilimpahi rahmat-Nya,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan salam Nisfu Syaaban dan berharap agar segala amalan yang dilaksanakan umat Islam diterima Allah SWT pada malam pertengahan bulan Syaaban ini yang sinonim sebagai malam pengampunan.

“Marilah kita perbanyakkan ibadah seperti doa, zikir dan solat-solat sunat untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

-- BERNAMA