Zpp Peruntuk Rm3 Juta Menerusi Program "back To School"

29/02/2024 10:34 AM

GEORGE TOWN, 29 Feb (Bernama) -- Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan RM3 juta menerusi program "Back To School" untuk diagihkan kepada 20,000 penerima terdiri daripada murid sekolah di negeri itu bagi bantuan awal keperluan persekolahan pada Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata setiap murid dari golongan asnaf itu akan menerima pakaian seragam sekolah untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga mereka.

"Dengan tekad usaha membantu golongan asnaf, kerajaan negeri melalui ZPP akan menganjurkan program ‘Back To School’ serta Nur Ramadan, dan ia adalah sebahagian program membantu golongan asnaf di Pulau Pinang.

"Program Nur Ramadan berupa sumbangan hamper E-tunai melibatkan seramai 15,654 asnaf membabitkan sumbangan RM1.56 juta sebagai persiapan menyambut Ramadan dan mereka boleh menebus barangan dapur bernilai RM100 di kedai atau pasaraya terpilih hanya menggunakan kad pengenalan tanpa tunai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya agihan zakat bagi skim pakaian seragam dan hamper Nur Ramadan diperuntukkan kepada kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), melalui Pusat Khidmat KADUN kerajaan, penyelaras KADUN, Ahli Majlis MAINPP dan Ahli Lembaga Pengarah ZPP serta pihak sekolah.

Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP berkata semua permohonan dibuat secara dalam talian dan sebagai makluman, segala keputusan berhubung agihan zakat yang melibatkan amaun yang besar adalah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah ZPP.

Katanya sebagai agensi di bawah MAINPP, pengurusan profesional ZPP sentiasa memastikan tiada pihak yang akan terpinggir dalam agihan zakat bagi skim ini dan skim-skim yang lain selama ini.

"Justeru, tohmahan Ketua Pembangkang Muhammad Fauzi Yusoff pada sidang media semalam bahawa pihak ZPP menafikan hak asnaf di kawasan pembangkang dengan mengaitkan ia adalah arahan daripada saya, bukan sahaja berniat jahat, bahkan ia bersifat fitnah,” katanya.

-- BERNAMA