Peniaga Bazar Ramadan Dinasihat Jaga Kebersihan Elak Penularan Denggi

02/03/2024 03:16 PM

ISKANDAR PUTERI, 2 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan di Johor dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mencegah penularan demam denggi, susulan peningkatan kes tersebut di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata peniaga perlu sentiasa memastikan sampah sarap diuruskan dengan baik agar tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata masyarakat juga pada masa sama perlu memainkan peranan dan mengamalkan aspek kebersihan termasuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar kediaman mereka.

“Kalau kita tengok, trend (peningkatan kes jangkitan demam denggi) dalam tempoh awal tahun ini memang lebih tinggi berbanding sebelum ini. 

“Jadi saya memesan kepada seluruh masyarakat untuk sama-sama menjaga kebersihan di kawasan kita sebab kadang-kadang kita nampak tempat kawasan sekitar kita bersih, tetapi rupa-rupanya ada takungan air dari segi sampah-sampah dan tempat yang boleh bertakung,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kes demam denggi di Johor ketika ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2024 Peringkat Negeri Johor di Sunway Big Box Retail Park, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai punca peningkatan kes demam denggi di Johor, Dr Mohtar berkata antara penyumbang kepada peningkatan itu ialah musim perayaan dan cuti sekolah yang menyebabkan pergerakan masyarakat meningkat, sekali gus meningkatkan risiko demam denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon sebelum ini dilaporkan berkata kumulatif kes denggi di Johor mencatatkan peningkatan 157 peratus pada minggu epid ke 07/2024 tahun ini dengan 2,555 kes direkodkan, berbanding 994 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah kes dilaporkan, sebanyak 966 kes adalah dari lokaliti wabak dan 1,589 kes pula dari lokaliti bukan wabak.

Daerah yang mencatatkan kes tertinggi bagi pada Minggu Epid 07/2024 ialah Johor Bahru iaitu 320 kes.

-- BERNAMA