Bertam Resort & Water Park Tawar 150 Juadah Berbuka Puasa

03/03/2024 01:07 PM

KEPALA BATAS, 3 Mac (Bernama) -- Bertam Resort & Water Park, sebuah taman tema air dan resort lima bintang bertemakan Maghribi di Bertam, di sini menawarkan 150 pilihan hidangan tradisional Melayu asli dan cita rasa Maghribi sebagai juadah berbuka puasa sempana bufet Ramadan, pada tahun ini.

Malah dengan tema Maharajan Al-At Am, bufet Ramadan kali ini bukan sahaja menyediakan hidangan istimewa Maghribi, malah pelbagai menu antarabangsa untuk pilihan pelanggan tanpa mengira usia menjamu selera.

Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd Datuk Mohammed Iqbal S Habeeb Noohu berkata hotel itu, turut membawakan gabungan masakan tradisional dan Maghribi di 25 gerai secara aksi langsung, masing-masing disusun rapi dengan reka bentuk inspirasi Maghribi.

Beliau berkata orang ramai yang datang menikmati bufet Ramadan di situ bukan sahaja boleh memilih pelbagai menu makanan yang disediakan, malah mereka juga dapat melihat sendiri chef di situ menyediakan masakan di 25 gerai tersebut.

“Daripada kelazatan aromatik Selera Mak Tok kepada kenikmatan rangup Kudapan Krupp Krapp dan dari kehangatan Sup Lahar Kepar hingga ke cita rasa Warisan Zaman Berzaman yang tidak lekang oleh masa, setiap gerai menawarkan perjalanan kulinari unik yang mempamerkan warisan masakan kami yang terbaik.

“Diserlahkan lagi dengan kegemaran tetamu kami dengan hidangan Maghribi yang menggoda, kami menampilkan hidangan seperti laham (kharouf), mhamar Maghribi b 25 baharat wa harissa iaitu Kambing perap dengan 25 rempah tradisional Maghribi dan Harissa, nasi talam ayam mandy, kambing kuning goley, om ali dan kunafa pisang,” katanya di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas sesi memperkenalkan juadah berbuka puasa di hotel itu dan turut hadir duta Bertam Resort & Water Park iaitu selebriti tersohor Datuk Aznil Nawawi, yang lebih dikenali sebagai Pak Nil.

Mohammed Iqbal berkata pelbagai menu pencuci mulut turut disediakan antaranya serawa durian pulau dengan roti benggali, puding mentega roti kurma dengan sirap toffee oren dan panacota kelapa dengan kurma dengan fondue coklat bagi memberikan pengalaman rasa baharu kepada mereka menikmatinya.

Beliau berkata selain hidangan yang lazat, pihaknya menyediakan ruang solat khusus bersama imam untuk pengunjung menunaikan solat Maghrib, Terawih dan Isyak, malah mereka juga dialukan untuk menyertai sesi tazkirah yang diadakan setiap Jumaat dan Sabtu, menyuburkan jiwa dengan inspirasi

“Semua menu kita telah dipilih antara yang terbaik, dengan pelbagai variasi hidangan termasuk masakan terkenal Cina dan India, yang paling penting hotel dan bufet Ramadan kita mempunyai sijil halal, jadi pengunjung boleh menikmatinya tanpa was-was.

“Malah ruang solat khusus turut disediakan mampu menampung sehingga 300 orang pada satu-satu masa dan bufet Ramadan kita bukan hanya menawarkan juadah semata-mata, sebaliknya turut menyediakan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk dari anak-anak tahfiz,” katanya.

Mohammed Iqbal berkata selain itu, tetamu boleh menikmati alunan melodi secara langsung oleh kumpulan P.Ramlee and Friends yang mempersembahkan himpunan lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sepanjang bulan Ramadan tersebut.

Beliau berkata bufet Ramadan itu akan bermula 13 Mac hingga 5 April nanti dan apa yang menarik juadah dihidangkan di kawasan berhampiran kolam renang di tingkat bawah secara terbuka dan pengunjung boleh menikmati juadah dikelilingi hotel mewah berkonsepkan seni bina dan hiasan mewah dari Maghribi.

“Sepanjang bulan puasa tahun lepas, kami menerima pengunjung yang hadir menikmati bufet Ramadan di hotel ini ialah seramai 15,000 orang dan pada tahun ini, sasaran kita mungkin sekali ganda dari jumlah tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menawarkan baucar promosi bufet ramadan untuk belian awal dengan harga RM98 manakala harga jualan sebenar ialah RM118 bagi dewasa, manakala warga emas RM88 serta kanak-kanak RM78 dan untuk tempahan atau pertanyaan boleh menghubungi 6012-2786379 atau 6017-2687139.

-- BERNAMA