Tcrs Perkenal Menu Ayam Mak-mak Cili Api Sempena Ramadan
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- The Chicken Rice Shop (TCRS) melancarkan hidangan terbaharunya, Ayam Mak-Mak Cili Api yang boleh didapati di semua cawangan TCRS di seluruh negara hingga 12 Mei ini, bersempena dengan bulan Ramadan.
TCRS dalam kenyataan memaklumkan tawaran menu baharu itu bertujuan memperkaya detik kebersamaan, sama ada berkongsi hidangan dengan insan tersayang semasa berbuka puasa atau menjamu selera ketika Aidilfitri.
"Ayam Mak-Mak Cili Api menampilkan ayam yang penuh rasa lemak daripada kuah santan pedas, bakal menjadi tumpuan pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri ini," menurut kenyataan itu.
Hidangan ini boleh dipesan dalam tiga set berbeza, Set Ucu, Set Mak Ngah dan Set Bonda yang dapat memenuhi keperluan semua saiz kumpulan dan memudahkan pelanggan untuk menikmati hidangan berkenaan.
Set Mak Ngah dan Set Bonda sesuai untuk kumpulan besar, menawarkan hidangan sampingan tambahan seperti Nyonya Pai Tee, Rojak Pulau Pinang, gulungan ayam terkenal Pulau Pinang dan pilihan sayur-sayuran serta minuman Air Tangan Kaklong sebagai pelengkap hidangan.
Bagi mereka yang memilih keselesaan untuk menikmati hidangan di rumah ketika Ramadan, TCRS juga menyediakan perkhidmatan bawa pulang bagi memastikan pelbagai pilihan menepati cita rasa setiap pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif TCRS Restaurants Sdn Bhd Wong Kah Yong menjemput para pelanggan untuk memulakan perjalanan kulinari penuh dengan perisa yang mencipta kenangan abadi.
"Di TCRS, kami amat berbangga dengan misi untuk menyediakan pengalaman menjamu selera yang luar biasa, sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia. Dedikasi kami untuk menawarkan masakan tempatan terbaik menunjukkan kepercayaan kami dalam menyebarkan kebahagiaan dan perpaduan melalui makanan," katanya dalam kenyataan sama.
Maklumat lanjut mengenai menu terbaharu Ayam Mak-Mak Cili Api, layari www.thechickenriceshop.com atau laman Facebook https://www.facebook.com/thechickenriceshop/.
-- BERNAMA