Jualan Agro Madani Pahang Rekod Lebih Rm741,000

06/03/2024 01:50 PM

KUANTAN, 6 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang merekodkan lebih RM741,000 nilai jualan menerusi program Jualan Agro MADANI dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Pengarahnya Saiful Sadri.

Dalam tempoh sama, program yang dahulunya dikenali sebagai Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, telah memanfaatkan 25,654 pengunjung selepas diadakan di 41 lokasi sekitar Pahang dengan Kuantan merekodkan penganjuran tertinggi iaitu sebanyak lapan kali.

Beliau berkata sambutan sangat positif dan pihaknya sering menerima permintaan daripada pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program itu di lokasi mereka. 

"Pada tahun ini kita rancang untuk menganjurkan program berkenaan di 310 lokasi, namun dengan sambutan baik ini jumlah itu dijangka akan bertambah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada tahun lepas katanya program itu merekodkan nilai jualan lebih RM4.3 juta selepas dianjurkan di 362 lokasi di seluruh negeri dengan kehadiran 62,452 pengunjung.

Beliau berkata kombo MADANI berharga RM10 setiap pek sering menjadi buruan orang ramai selain beras putih tempatan, ikan serta ayam proses.

Jualan Agro MADANI merupakan kolabrasi antara FAMA bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi menawarkan produk masing-masing dengan tarikan utama kepada kombo MADANI yang menawarkan harga penjimatan kira-kira RM5.

Program yang memfokuskan golongan B40 itu membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih seperti sayur, ayam, ikan dan daging dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus.

Ditanya mengenai persiapan FAMA menjelang Ramadan, Saiful memaklumkan pihaknya masih membantu membuat agihan bekalan beras putih tempatan oleh pengilang.

"Selain dari beras, ayam juga menjadi produk yang mendapat permintaan tinggi semasa musim perayaan, justeru, kami masih meneruskan pembekalan ayam proses ke pasaran melalui pusat edaran dan kedai FAMA yang terpilih,” katanya.

-- BERNAMA