Zakat Fitrah N. Sembilan 2024 Ditetapkan Rm7, Rm12.50, Rm22

07/03/2024 05:16 PM

SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12.50 dan RM22 pada tahun ini.

MAINS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.75 kilogram.

“Pewartaan kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras jenis Super Special Tempatan lima peratus, RM12.50 bagi pengguna beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22.00 pada pengguna beras Super Basmathi,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam menunaikan ibadah itu, MAINS menyediakan kaedah pembayaran bersemuka dan secara dalam talian termasuk kaunter zakat MAINS, menerusi 1,250 Amil Zakat Fitrah yang ditauliah MAINS atau di www.zakatns2u.biz/fitrah, MAINS Pay serta JomPAY.

Menurut MAINS, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau permasalahan berkaitan boleh menghubungi talian MAINS di 06-7651402 atau laman sesawang www.mains.gov.my 

Selain itu, MAINS turut memaklumkan akan membelanjakan sehingga lebih RM17 juta wang zakat untuk pelbagai jenis bantuan termasuk kepada fakir, miskin dan barangan keperluan asas asnaf sepanjang Ramadan.

-- BERNAMA