Peniaga Bazar Ramadan Sewakan Tapak Akan Dikompaun, Disenarai Hitam - Mbi

08/03/2024 02:42 PM

IPOH, 8 Mac (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga bazar Ramadan yang didapati menyewakan tapak bazar kepada pihak lain. 

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengambil kesempatan menyewakan tapak pada kadar lebih tinggi kepada peniaga lain. 

Beliau berkata walaupun tiada laporan sebelum ini mengenai kejadian itu, pihaknya akan terus memantau perkara berkenaan.

"Kita telah maklumkan kepada penguat kuasa MBI bahawa kita akan lebih tegas selain meningkatkan pemantauan di semua bazar Ramadan bagi memastikan tiada peniaga yang melanggar peraturan. 

"Sekiranya kita dapati ada peniaga yang dapat tapak kemudian sewakan kepada orang lain, kita terus kompaun mereka dan akan disenaraihitamkan oleh MBI," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2024 di Dewan Azlan Shah di sini hari ini. 

Rumaizi berkata sebanyak 1,128 lesen bazar Ramadan diluluskan MBI membabitkan 24 lokasi di seluruh bandar raya Ipoh tahun ini.

"MBI turut menyelaras lesen di bawah penganjuran persatuan penjaja, koperasi usahawan, ahli jawatankuasa masjid dan surau termasuk agensi swasta. 

"Kadar bayaran yang ditetapkan oleh MBI kepada penganjur ialah RM750 meliputi sewa khemah, lesen dan caj pembersihan namun kebanyakan penganjur mengenakan bayaran RM650 sahaja," katanya. 

Menurut Rumaizi keunikan bazar Ramadan MBI tahun ini ialah penggunaan konsep mesra alam menerusi aktiviti ekonomi kitaran di semua bazar kendalian pihak berkuasa tempatan itu.

"Kita galakkan penggunaan bungkusan makanan jenis biodegradasi dan bekas makanan bawa sendiri oleh pengunjung bazar termasuk kutipan minyak masak terpakai dari semua peniaga bazar.

"Kita juga turut menjalankan program MySafeFood@Ramadan 2024 iaitu agihan lebihan makanan yang tidak terjual akan dikumpulkan oleh Pemuda Gema Perak daripada peniaga bazar di Taman Cempaka dan Medan Gopeng untuk diagihkan kepada golongan memerlukan," katanya. 

-- BERNAMA