Zakat Fitrah Di Pahang Kekal Rm7
PEKAN, 8 Mac (Bernama) -- Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang bagi tahun ini kekal RM7 seorang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain.
Beliau bagaimanapun berkata umat Islam yang menggunakan beras wangi atau seumpama dan setara diwajibkan membayar RM14 manakala mereka yang menggunakan beras basmati atau seumpama dan setara wajib membayar RM21.
"Pada tahun lepas kita hanya menggalakkan umat Islam berkemampuan membayar zakat fitrah mengikut jenis dan harga beras yang sering mereka gunakan tetapi berbeza dengan tahun ini apabila kita mewajibkan.
"Semua perkara berkaitan zakat fitrah telah diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dan ia perlu dipatuhi," katanya pada sidang media Kadar Zakat Fitrah Pahang Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Pejabat MUIP di sini hari ini.
Ahmad Hairi berkata sebanyak 918 amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah dan umat Islam dinasihatkan melakukan pembayaran hanya kepada amil yang dilantik.
Beliau berkata selain pelantikan amil, MUIP turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui capaian ezakat.muip.gov.my atau melalui Bank Muamalat.
Selain itu, beliau berkata MUIP akan mengagihkan bantuan lebih RM20.281 juta kepada 38,965 penerima sepanjang Ramadan manakala lebih RM5.247 juta diberikan kepada 11,550 ketua isi rumah golongan asnaf dan fakir miskin yang merupakan penerima zakat bulanan.
"Kita juga memberi sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM4.28 juta kepada 686 masjid dan surau manakala RM292,500 diperuntukkan kepada 149 buah maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar di Pahang,” katanya.
-- BERNAMA