Program Perda Santuni Komuniti Madani Sasar Kehadiran 10,000 Pengunjung Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyasarkan kehadiran 10,000 orang dari komuniti luar bandar ke Program Perda Santuni Komuniti MADANI bagi tahun ini.
Perda dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang memberi manfaat kepada komuniti luar bandar itu telah dilaksanakan sebanyak enam siri tahun lepas dan memberi manfaat kepada lebih 4,000 orang.
“Program Perda Santuni Komuniti MADANI ini merupakan satu daripada inisiatif Perda dalam usaha untuk membantu dan mensejahterakan masyarakat. Program ini dilaksanakan khusus untuk komuniti luar bandar agar turut sama memperoleh maklumat serta manfaat terkini berkenaan inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan kerajaan.
“Selain itu, menerusi program ini juga semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat akan dapat memberikan perkhidmatan secara menyeluruh dan inklusif kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Mengenai Program Perda Santuni Komuniti MADANI yang diadakan hari ini di Dewan Kariah Permatang Rambai, Kepala Batas, Perda memaklumkan seramai 200 penduduk terpilih menerima sumbangan Bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas.
Selain itu, turut diadakan adalah acara pertandingan mewarna kanak-kanak yang disertai seramai 50 kanak-kanak dan ia diadakan dengan kerjasama Perpustakan Desa Negeri Pulau Pinang.
Program yang tertumpu di kawasan kampung dan pinggir bandar itu juga mendapat kerjasama jabatan dan agensi kerajaan negeri lain antaranya Lembaga Pemasaran Dan Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara.
Turut terlibat adalah Jabatan Penerangan negeri, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Pejabat Zakat Pulau Pinang, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Pengurus Besar Perda Mohd Asri Baharum berkata pihaknya merancang untuk mengadakan empat siri Program Perda Santuni Komuniti MADANI tahun ini.
“Menerusi program ini, kita turut mengambil peluang mengumpulkan input daripada masyarakat luar bandar. Input ini penting bagi membolehkan kita melakukan penambahbaikan melalui pelan strategik yang dirancang demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Program di Permatang Rambai itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Tinjauan Bernama di lokasi program pula mendapati sebanyak 600 ekor ayam mentah habis dijual dengan 300 pengunjung bertuah memperoleh harga RM5 bagi seekor ayam menerusi slot jualan ‘Happy Hour’.
Selain itu, 500 kampit beras tempatan yang disediakan turut laris dijual pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg) selain barangan seperti sayuran dan daging dijual murah pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Seorang pengunjung, Rashila Aziz, 30, ketika ditemui berkata program seperti itu amat membantu meringankan beban rakyat dalam perbelanjaan barangan keperluan, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.
-- BERNAMA