Bazar Ramadan Rahmah Di Lapan Lokasi Di Johor Bermula 12 Mac
KLUANG, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di lapan lokasi terpilih bermula 12 Mac hingga 11 April ini.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata BRR yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan itu turut menawarkan insentif e-dompet berjumlah RM20 kepada 8,000 pengunjung.
Beliau berkata seramai 660 peniaga BRR yang memilih untuk menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai Touch 'n Go pula diberikan insentif e-dompet berjumlah RM50.
“Kita anggarkan sebanyak 40 peratus peniaga BRR akan menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah berharga tidak melebihi RM5.
“Peniaga yang menawarkan menu berkenaan boleh memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah melalui portal Menu Rahmah KPDN, yang membolehkan mereka membeli bekalan bahan mentah pada harga diskaun hingga 30 peratus bagi barang-barang terpilih di lima pasar raya besar utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI Back To School Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.
Lapan lokasi tersebut adalah Bazar Ramadan Perling Mall, Johor Bahru; Bazar Ramadan Pesta, Batu Pahat; Bazar Ramadan Laman SR, Simpang Renggam, Kluang; Bazar Ramadan Kipmart, Kota Tinggi; Bazar Ramadan Taman Wawasan, Mersing; Bazar Ramadan Rezab MPPN Pekan Nenas, Pontian; Bazar Ramadan Pusat Perniagaan Kampung Tengah, Muar dan Bazar Ramadan Taman Yayasan, Segamat.
Lilis Saslinda berkata KPDN Johor dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda Malaysia (GEMA) dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) turut melaksanakan inisiatif “MySave Food Ramadhan”.
“Menerusi inisiatif itu lebihan makanan atau minuman yang tidak terjual di BRR akan diedarkan kepada pelajar, dengan pengumpulan akan dilaksanakan untuk tempoh tujuh hari bermula pada 22 hingga 24 Mac dan seterusnya pada 29 Mac hingga 1 April,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata anggota penguat kuasa akan giat melakukan pemantauan di bazar Ramadan di seluruh negeri itu bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan seperti meletakkan tanda harga pada barang jualan.
“Penguatkuasaan berhemah akan dilakukan pada peringkat awal, kita beri nasihat dan peringatan kepada peniaga antaranya kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan memeriksa alat timbangan yang digunakan.
“Jika setelah pemantauan dilakukan dan peniaga masih tidak mematuhi peraturan, baharu tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.
-- BERNAMA