1,000 Penguat Kuasa Kkm Pantau Penyediaan, Kebersihan Makanan Di Bazar Ramadan

09/03/2024 04:55 PM

KUALA NERUS, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggerakkan kira-kira 1,000 penguat kuasanya untuk memantau penyediaan dan kebersihan makanan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kebersihan makanan dan bazar, serta memastikan kesemua peniaga mendapatkan suntikan tifoid sebagai langkah menjamin keselamatan makanan.

“Bagi  (pengunjung) yang datang membeli pula perlu ada pengetahuan dalam mengenal pasti kualiti dan keselamatan makanan yang disiapkan seperti memerhati keadaan fizikal makanan yang dijual dan menghidu makanan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wellnes Hub Terengganu di pekarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Menurutnya KKM juga akan menempatkan platform khas kod QR di semua bazar bagi memudahkan orang ramai menyalurkan laporan atau aduan berkaitan bazar Ramadan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mengingatkan orang ramai mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan berlaku penyebaran COVID-19 pada bulan puasa dan musim perayaan nanti.

Beliau berkata meskipun KKM tidak menjangkakan berlaku ledakan kes COVID-19 pada musim perayaan ini, langkah sewajarnya seperti sentiasa memakai pelitup muka perlu diberi perhatian.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak berada di tempat yang sesak seperti bazar Ramadan sekiranya tidak sihat atau mengalami gejala seperti batuk,” katanya.

-- BERNAMA