Jualan Agro Madani Di Melaka Catat Rm1.302 Juta Setakat 18 Feb

09/03/2024 11:05 PM

ALOR GAJAH, 9 Mac (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI di Melaka berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.302 juta setakat 18 Feb, menerusi pelaksanaan 84 program di seluruh negeri ini sejak awal tahun.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata pencapaian itu, meliputi 32.5 peratus daripada sasaran sebanyak RM4 juta pada tahun ini di bawah program tersebut, selain menyasarkan 400 program jualan diadakan sehingga hujung tahun.

“Kita percaya sasaran itu mampu dicapai dengan sambutan yang menggalakkan daripada pengguna di negeri ini...dan pada tahun lepas nilai jualan Agro MADANI dicatatkan sebanyak RM5.96 juta, melebihi sasaran awal iaitu RM3.5 juta.

“Pada tahun 2023 juga program tersebut berjaya memberi manfaat kepada seramai 171,000 pengguna di seluruh Melaka, dengan penjimatan RM1.78 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Ramadan MADANI 1445H peringkat negeri di Masjid Tanah di sini hari ini.

Program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut Nor Azhar berkata sempena Program Semarak Ramadan MADANI itu, lima lokasi pasar tani terlibat iaitu di Selandar, Lubok China, Masjid Tanah, Jasin dan Merlimau, bagi memberi kemudahan kepada orang ramai membeli barangan keperluan sebagai persediaan menyambut bulan puasa.

“Pada jualan ini, FAMA Melaka menawarkan jualan promosi telur ayam RM10 sepapan; set kombo MADANI berharga RM10 iaitu minyak, tepung, gula, bihun dan bawang; daging segar RM35 sekilogram; dan  ayam standard RM8.30.

“Sempena program ini juga kita turut mengagihkan 200 pek bubur lambuk dan kurma kepada pengunjung di pasar tani,” katanya.

-- BERNAMA