Lzs Peruntuk Rm31.9 Juta Bantuan Ramadan Dan Syawal

10/03/2024 03:36 PM

SHAH ALAM, 10 Mac (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM31.9 juta bantuan Ramadan dan Syawal untuk diagihkan kepada 68,311 asnaf fakir, miskin dan mualaf seluruh Selangor tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan berkata peruntukan itu membabitkan 23,578 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah bantuan sebanyak RM11.6 juta, RM18.6 juta kepada 39,936 ketua keluarga asnaf miskin manakala RM1.7 juta diperuntukkan kepada 4,797 asnaf mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

“Bantuan tersebut mula disalurkan bermula hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai. Semakan status bantuan boleh dibuat secara dalam talian di ezo.zakatselangor.com.my,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS 2024 di sini, hari ini yang turut hadiri Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Md Yusmizan Yusuf.

Ahmad Fadhil berkata tahun ini, Petaling merupakan daerah yang diperuntukkan agihan zakat tertinggi iaitu sebanyak RM6.2 juta membabitkan 13,045 asnaf fakir, miskin dan mualaf diikuti Klang (RM5.5 juta) dan Hulu Langat (RM4.7 juta).

Beliau berkata bersempena Ramadan ini, sebanyak 18 cawangan LZS di seluruh negeri akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuklah Sabtu dan Ahad serta cuti umum sepanjang bulan Ramadan.

Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang, kata Ahmad Fadhil.

“Menariknya pada 1 sehingga 7 Ramadan ini, 10 orang pembayar terawal yang mengunjungi cawangan LZS berpeluang untuk menerima cenderahati eksklusif dengan menyertai putaran ‘Wheel of Barakah’.

“Bukan itu sahaja, pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini, turut disediakan cenderahati eksklusif kepada lima orang pembayar terawal yang mengunjungi cawangan LZS bersempena dengan ‘Kempen Galakan Bayaran Hujung Minggu’,” katanya.  

-- BERNAMA