Melaka Rai Bulan Pelancongan Islam Sepanjang Ramadan Sempena Tmm2024

10/03/2024 07:56 PM

MELAKA, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri akan meraikan Bulan Pelancongan Islam bertemakan 'Dari Hati Membawa Ke Syurga' sepanjang Ramadan ini bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM2024).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata lebih 400 program keagamaan disusun hampir setiap hari sepanjang bulan pelancongan itu bagi menarik penyertaan umat Islam dan akan dianjurkan di pelbagai lokasi termasuk di Pavilion di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Beliau berkata program tersebut termasuk Seminar Rukyah dan Hisab, Malam Semarak Haruman Ramadan, Jom Rewang Bubur Lambuk serta Majlis Iftar Mega yang akan diadakan pada 16 Mac ini di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini.

"Majlis Iftar Mega itu dijangka disertai lebih 7,000 umat Islam yang akan berbuka puasa di Dataran Pusat Islam dan juadah berbuka akan disediakan tetapi pengunjung juga boleh membawa makanan sendiri bagi memeriahkan majlis.

"Pelaksanaan program tersebut sebagai galakan kepada umat Islam untuk merebut peluang meningkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Ihya Ramadan Peringkat Melaka 2024 yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Sementara itu, Rahmad berkata penganjuran program berkenaan akan melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan agensi agama lain seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Zakat Melaka, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pada tahun ini sebanyak 1,029 amil dilantik oleh Zakat Melaka bagi mengurus kutipan zakat fitrah.

"Berdasarkan pengalaman dan kepakaran amil yang dilantik, saya berharap proses pembayaran zakat fitrah di Melaka dapat diuruskan dengan lebih efisien agar prestasi kutipan zakat fitrah pada tahun ini dapat dipertingkatkan.

"Saya mahu amil sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Zakat Melaka seperti yang termaktub dalam perjanjian dan peraturan amil fitrah negeri," katanya.

-- BERNAMA