Bantuan Awal Ramadan RM500 Tidak Wujud, Poster Pernah Tular Pada 2023
Najmi Shah
SEKILAS FAKTA
- Tular dakwaan bahawa kerajaan akan memberikan Bantuan Awal Ramadan RM500 secara one-off (sekali bayar) kepada rakyat Malaysia.
- Dikatakan bantuan tersebut boleh dimohon dengan mengunjungi mana-mana pejabat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan juga memuat turun borang permohonan di laman sesawang MAIWP.
- Hasil semakan mendapati Bantuan Awal Ramadan RM500 tidak wujud manakala poster yang memaparkan gambar Perdana Menteri adalah palsu dan pernah tular pada 2023.
- MAIWP ada memberikan Insentif Khas Ramadan kepada penerima Bantuan Sara Hidup namun ia tiada kaitan dengan Bantuan Awal Ramadan RM500 yang tular.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima maklumat berserta satu pautan (link) portal daripada orang awam menerusi laman web www.mycheck.my yang bertanyakan kesahihan Bantuan Awal Ramadan RM500 secara one-off (sekali bayar).
Dikatakan bantuan itu boleh dimohon oleh semua rakyat Malaysia.
Berdasarkan portal tersebut, bantuan akan disalurkan secara berperingkat mulai 11 Mac 2024.
Turut dipaparkan ialah poster dengan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertulis ‘BANTUAN AWAL RAMADAN RM500 ONE-OFF telah mula dikreditkan secara berperingkat’.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
Portal Meragukan
MyCheck telah meneliti portal tersebut, yang menggunakan nama ‘Bantuan Kerajaan’.
Kami dapati kandungan portal memfokuskan kepada beberapa kategori seperti maklumat mengenai bantuan kerajaan dan swasta, jawatan kosong kerajaan, berita tentang artis tempatan dan bola sepak.
pix3
Bagaimanapun portal tersebut tidak memaparkan apa-apa maklumat yang menunjukkan ia laman web rasmi mana-mana agensi kerajaan.
Justeru kami membuat semakan menggunakan phishing link checker dan mendapati portal berkenaan berstatus meragukan.
pix4
Poster Adalah Palsu, Pernah Tular Pada 2023
Selain itu, apa yang paling menarik perhatian kami adalah poster yang memaparkan gambar Perdana Menteri.
Poster yang memaparkan Perdana Menteri lazimnya dikaitkan dengan makluman rasmi yang turut akan dimuat naik di media sosial rasmi beliau.
Untuk membuat pengesahan, kami membuat carian di platform Facebook, X (Twitter) dan Instagram rasmi Perdana Menteri, namun tidak menjumpai sebarang poster atau makluman mengenai Bantuan Awal Ramadan RM500 itu.
Bagaimanapun, ketika membuat carian secara rawak di Facebook dengan kata kunci 'Bantuan Awal Ramadan RM500', kami menemui poster sama yang telah dimuat naik di beberapa akaun media sosial.
Hantaran berserta poster tersebut dimuat naik pada 5 dan 10 April 2023 iaitu ketika bulan Ramadan tahun lepas. Anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.
pix5
Bantuan Melalui Laman Sesawang MAIWP
Jika poster adalah palsu, bagaimana pula dengan informasi mengenai bantuan Ramadan itu?
MyCheck kemudian membaca keseluruhan maklumat mengenai Bantuan Awal Ramadan RM500 yang dipaparkan di portal itu.
Menurut portal berkenaan, bantuan boleh dimohon dengan mengunjungi mana-mana pejabat Baitulmal MAIWP atau memuat turun borang permohonan di laman sesawang MAIWP.
pix6
Turut dinyatakan syarat dan kriteria pemohon adalah beragama Islam, warganegara Malaysia, bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang daripada satu tahun, masih menetap di Wilayah Persekutuan dan ia tertakluk kepada pengiraan Had al-Kifayah.
Tiada Makluman Berkaitan Di Laman Web Rasmi MAIWP
Berdasarkan maklumat tersebut MyCheck membuat semakan di laman web rasmi MAIWP.
Bagaimanapun kami tidak menjumpai sebarang makluman berhubung Bantuan Awal Ramadan RM500.
Malah, tiada borang yang disediakan untuk dimuat turun bagi permohonan bantuan tersebut sebagaimana yang dinyatakan di portalinfo.my.
Insentif Khas Ramadan 1445H
Selain laman web, MAIWP lazimnya akan memuat naik makluman atau informasi mengenai aktiviti agihan zakat di platform media sosial rasmi mereka.
Justeru MyCheck beralih ke media sosial Facebook dan Instagram MAIWP untuk mencari maklumat berkaitan.
Hasil semakan kami tiada sebarang makluman berkaitan Bantuan Awal Ramadan RM500.
Sebaliknya, apa yang kami temui ialah poster ‘Bantuan Insentif Khas Ramadan 1445H’ di Facebook dan Instagram MAIWP.
pix7
Hanya Untuk Penerima Bantuan Sara Hidup MAIWP
Bagaimanapun, maklumat pada poster menunjukkan insentif tersebut hanya bagi 32,250 penerima Bantuan Sara Hidup MAIWP.
Memetik portal MAIWP, kriteria bagi penerima Bantuan Sara Hidup adalah mereka yang terdiri daripada golongan fakir, miskin, mualaf dan Ar-Riqab (salah satu golongan yang berhak menerima zakat).
Penerima ini akan mendapat bantuan maksimum RM1,000 setiap bulan.
Anda boleh baca syarat-syarat lain melalui pautan ini.
Dikreditkan Terus Ke Akaun Penerima
MyCheck turut menghubungi pegawai perhubungan awam MAIWP untuk mengetahui cara memohon insentif tersebut.
Pegawai tersebut menjelaskan penerima tidak perlu mengisi apa-apa borang sebaliknya wang akan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima Bantuan Sara Hidup mulai 5 Mac 2024.
Ini bermakna insentif tersebut tiada kaitan dengan bantuan awal Ramadan yang telah tular.
Pautan portalinfo.my Adalah ‘Clickbait’
Jelas di sini, pautan portalinfo.my itu berbentuk umpan klik atau ‘clickbait’ yang dibuat untuk menarik perhatian pembaca.
Umpan klik biasanya merupakan strategi menambahkan jumlah pelawat di sesuatu laman web, memancing data pengguna Internet atau menambah pendapatan iklan.
Kebanyakan pautan sebegini memaparkan kandungan yang diragui kesahihannya atau palsu.
Bagi pautan portalinfo.my ini, orang ramai tidak diminta untuk mengisi apa-apa maklumat peribadi di portal, maka ia lebih kepada ‘memancing’ pelawat ke portal tersebut.
KESIMPULAN
MyCheck menyimpulkan dakwaan bahawa kerajaan akan memberikan Bantuan Awal Ramadan RM500 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia adalah tidak benar.
Bantuan itu tidak wujud. Malah, poster yang dikongsikan juga adalah palsu dan pernah tular pada Ramadan tahun lepas.
Tidak salah untuk berkongsi maklumat mengenai bantuan, namun pastikan ia sahih. Ini untuk mengelakkan orang lain menjadi mangsa tipu daya pihak tidak bertanggungjawab.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN