Orang Ramai Serbu Jualan Agro Madani Semarak Ramadan

11/03/2024 02:22 PM

ALOR SETAR, 11 Mac (Bernama) -- Orang ramai mula membanjiri pekarangan pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu dekat sini, bagi mendapatkan barangan keperluan pada Jualan Agro Madani Semarak Ramadan hari ini.

Rata-rata yang ditemui menyifatkan inisiatif kerajaan Madani itu banyak memberi manfaat kepada rakyat serta meringankan beban hidup dalam menangani isu kos sara hidup.

Abdul Ghani Shaari, 61, dari Gunung Keriang di sini berkata beliau bersama isteri datang seawal 9 pagi semata-mata untuk membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga RM26 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

“Kami mai terus beli beras, kalau di kedai runcit atau pasar raya mahal hingga RM39 sekampit. Alhamdulillah dapatlah beli beras dua kampit untuk stok bulan puasa. Kami juga beli tembikai yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram berbanding RM4 di luar,” katanya ketika ditemui pada jualan tersebut di sini, hari ini.

Suri rumah Siti Zainab Saad, 60, pula berkata beliau bersyukur dengan inisiatif kerajaan yang menganjurkan jualan itu kerana sangat membantu rakyat membuat persiapan menyambut Ramadan. 

“Mulanya lalu sini tengok ramai orang bawa beras, rupa-rupanya ada jualan murah, saya pun singgahlah. Pastinya beraslah yang menjadi keperluan...selain barangan kering dan basah, terpaksa beratur panjang jugalah tadi,” katanya.

Warga emas Che Amah Said, 76, dari Taman Darul Aman di sini berkata beliau datang seawal 8.30 pagi bersama anak untuk membeli barangan keperluan sempena puasa esok.

“Syukur sangat, apa yang dilaksanakan kerajaan ini memang tepat pada masanya, selain murah, barang-barang ditawarkan juga berkualiti malah ada yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Macam harga ayam mungkin di pasaran sekilo RM9 lebih tapi di sini seekor baru RM10. Ada pelbagai pilihan ikan, daging lembu tempatan, sayur-sayuran dan buah-buahan dijual murah,” katanya yang berpuas hati dengan kualiti barangan yang dijual.

Program bermula 8.30 pagi itu memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas seperti ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan yang dijual 30 peratus lebih harga murah berbanding pasaran.

-- BERNAMA