Sultan Mizan Titah Umat Islam Imarahkan Masjid Sepanjang Ramadan
KUALA TERENGGANU, 11 Mac (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan umat Islam agar menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keinsafan dan menghidupkan suasana masjid dengan solat fardu serta sunat tarawih pada setiap malam.
Sultan Mizan juga menggalakkan masjid menjalankan program iftar bagi mengeratkan silaturrahim antara umat Islam yang sering dihambat dengan kesibukan dalam dunia hari ini.
"Beta mahu rakyat negeri ini mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadan untuk mengimarahkan masjid dengan solat fardu dan tarawih setiap malam. Perbanyakkan takbir dan tahmid serta amal ibadat lain.
"Program tadarus yang dijalankan di masjid-masjid juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa kerana program tersebut adalah satu nilai tambah untuk umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT," titah baginda dalam Titah Perutusan Sempena Kedatangan Bulan Ramadan.
Baginda juga mengingatkan umat Islam supaya menunjukkan teladan yang baik dalam memelihara keharmonian dan perpaduan selain menasihatkan umat Islam untuk menjadi insan berjiwa waja dalam mempertahankan kesucian agama yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW.
"Hari ini umat Islam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran. Oleh itu, beta menyeru agar kita semua dapat mempertahankan kesucian Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah," titah baginda.
Di samping itu, Sultan Mizan menyeru supaya rakyat Terengganu mendoakan umat Islam di luar sana yang sedang diuji dengan peperangan agar tabah dalam menempuh dugaan.
"Marilah kita saling bermuhasabah dan mendoakan agar saudara kita yang diuji dengan peperangan diberi kekuatan serta kesabaran dalam menempuh ujian," titah baginda.
Melalui perutusan itu juga baginda menyeru supaya umat Islam memperbanyakkan amalan sedekah dan membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
-- BERNAMA