Ppz-maiwp Sasar Kutipan Zakat Rm195.5 Juta Menerusi Kempen Ramadan 2024

11/03/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat RM195.5 juta melalui Kempen Ramadan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata kutipan zakat itu merangkumi zakat fitrah, zakat harta dan wakaf tunai.

“Daripada jumlah RM195.5 juta itu kami menyasarkan untuk mengutip RM15 juta bagi zakat fitrah, RM178 juta bagi zakat harta dan RM2.5 juta bagi wakaf tunai.

“Jumlah ini adalah peningkatan daripada kutipan pada tahun lepas iaitu RM175.9 juta,” katanya pada pelancaran Kempen Ramadan 2024 di Wisma PPZ-MAIWP di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Hakim melancarkan Kempen Ramadan 2024 yang bertemakan ‘Nikmat Memberi’ bagi mengajak masyarakat merasai sendiri nikmat berkongsi rezeki bersama mereka yang kurang berkemampuan melalui ibadah zakat dan wakaf.

Kempen itu bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan ibadah zakat selain menguar-uarkan perkhidmatan dan saluran bayaran serta program-program menarik anjuran PPZ-MAIWP sepanjang Ramadan ini.

Bagi mengimarahkan lagi kempen itu, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan antaranya seperti aktiviti turun padang Program Let's Ngaji dan 1 Hari 1 Doa bersama penceramah selebriti Ustaz Don Daniyal Biyajid, Ramadan Rewards dan pelbagai lagi pengisian ilmiah.

Selain itu PPZ-MAIWP turut menyediakan ruang niaga kepada usahawan-usahawan asnaf melalui program Booth Asnaf Preneur yang akan dibuka di kaunter-kaunter terpilih sebagai tanda sokongan dalam memperkasakan ekonomi usahawan asnaf.

-- BERNAMA