Nasihat Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Al-mubarak

12/03/2024 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bersempena dengan bulan Ramadan ini, pastinya penjualan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan premis makanan akan menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat. Bazar Ramadan dan premis makanan seluruh negara akan dipenuhi dengan pengunjung yang ingin membeli pelbagai jenis juadah makanan untuk berbuka puasa. 

Selaras dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan peraturan di bawahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan.