Jualan Rahmah Bergerak: Bantu Penduduk Kl Dapatkan Barangan Dengan Harga Murah
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Harga barangan keperluan dapur yang diperolehi dengan harga lebih murah di Jualan Rahmah Bergerak (JRB) di Blok B, Desa Pandan di sini memberi kelegaan kepada penduduk sekitar terutama masyarakat Islam yang menyambut Ramadan bermula hari ini.
Berkongsi keterujaan dan rasa syukur dengan penganjuran JRB, rata-rata pengunjung menyifatkan program itu sebagai keprihatinan kerajaan yang terus komited membantu rakyat khususnya golongan B40.
Suri rumah Hanifa Mansor, 64, berkata JRB diibaratkan sebagai pusat sehenti apabila menawarkan pelbagai barangan dapur yang diperlukan seperti telur gred A, daging lembu, beras, bawang merah, bawang putih dan tepung gandum pada satu tempat sekali gus memudahkan komuniti di sini.
“Alhamdulillah, program sebegini sangat membantu saya sekeluarga mendapatkan barangan kelengkapan dapur pada harga jauh lebih murah dari pasaran. Barang yang dijual di sini juga semua berkualiti,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Susulan itu, pesara kerajaan Zakaria Hassan, 62, mengharapkan program yang bermanfaat tersebut dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang dengan menawarkan lebih banyak lagi seleksi barangan kelengkapan dapur.
“Saya berharap Jualan Rahmah sebegini lebih kerap diadakan terutama pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Jualan Rahmah akan menjadi solusi terbaik kepada rakyat untuk dapatkan produk pada harga diskaun sehingga 30 peratus,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Lumpur (KPDN WPKL) Ariffin Samsudin berkata program JRB dilaksanakan di 11 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antaranya Bandar Tun Razak, Kepong, Bukit Bintang, Cheras, Batu dan Setiawangsa bermula hari ini hingga 7 April sempena Ramadan.
“Program ini akan menawarkan barangan asas kepada pengguna seperti ayam, beras, minyak masak, telur, ayam, santan, daging, tepung dan sardin dengan harga yang lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran setempat..
“Jualan Rahmah kali ini juga turut membawa barangan yang lazim menjadi pilihan pengguna seperti tepung gandum, bawang merah dan bawang putih dengan jumlah bekalan dari 600 ke 1,000 unit bagi setiap item yang ditawarkan…bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat,” katanya.
Selain itu katanya jadual dan lokasi sepanjang 22 hari program JRB adalah berbeza bagi setiap kawasan Parlimen dan pemakluman mengenainya akan diwar-warkan lebih awal menerusi media sosial KPDN WPKL.
-- BERNAMA