Bazar Ramadan Sedc Buka Peluang Peniaga Tempatan Jana Pendapatan
KUCHING, 12 Mac (Bernama) – Pembukaan Bazar Ramadan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) di seluruh negeri itu membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan.
Kenyataan SEDC memaklumkan bazar itu telah dibuka di 12 lokasi hari ini iaitu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, Menara SEDC Ithmus serta Medan-Medan Niaga di Kubah Ria, Boyan, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri, Marudi, Limbang dan Lawas.
“Bazar Ramadan ini disertai oleh 243 usahawan yang menjual pelbagai jenis produk seperti lauk-pauk, minuman, kuih-muih, biskut, buah-buahan dan kraf,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pembukaan bazar ramadan di UTC Kuching, yang dirasmikan oleh Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain dan turut dihadiri Pengurus Besar SEDC Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir serta Timbalan Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan, mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pusat tersebut.
Bazar Ramadan SEDC, yang berlangsung hingga 5 April, adalah program tahunan perbadanan itu bagi memeriahkan sambutan bulan puasa.
-- BERNAMA